Food Safety

Kenyataan Akhbar KPK 28 Februari 2018 – Isu Pek Promosi Susu Tepung Rumusan untuk Kanak-kanak Jenama Dutch Lady Curious (900 gram) 1-2 Tahun Biasa

WhatsApp Image 2018-02-12 at 10.16.53 PM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini isu pek-promosi susu tepung rumusan untuk kanak-kanak jenama Dutch Lady Curious (900 gram) 1-2 Tahun Biasa yang tular di media sosial di mana pengadu memaklumkan bahawa anak beliau mengalami simptom ruam merah di bahagian leher dan kelangkang, batuk, cirit-birit dan demam panas setelah mengambil produk susu tepung berkenaan.

Hasil verifikasi oleh KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di kilang pengeluaran produk tersebut mendapati kilang berkenaan mempunyai program jaminan keselamatan makanan. Di samping itu, hasil analisis mengesahkan produk tersebut adalah selamat untuk dimakan.

Di bawah subseksyen 13(1), Akta Makanan 1983, mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan produk makanan yang dijual di pasaran adalah selamat dan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 28 Februari 2018

Categories: Food Safety, Press