Kementerian Kesihatan Malaysia ingin meredakan keresahan orang awam terutamanya pesakit asma susulan daripada penerbitan sebuah artikel yang disiarkan di laman portal berita atas talian Astro Awani bertajuk “Pesakit Asma, pastikan anda guna inhaler yang betul!” bertarikh 23 Februari 2018. Artikel tersebut menyentuh isu berkenaan tarik balik produk Accuhaler Ventolin dan Seretide yang digunakan dalam rawatan pesakit asma di pasaran United Kingdom (UK).
Berkenaan isu ini, KKM ingin menegaskan bahawa penarikan balik produk tersebut sama sekali tidak melibatkan pasaran di Malaysia. Sebaliknya, penarikan balik produk tersebut hanyalah untuk sebilangan kelompok yang berada dalam pasaran di UK sahaja. Semakan juga mendapati pada masa ini, hanya produk Accuhaler Seretide sahaja yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dengan nombor pendaftaran MAL20001532ARZ, manakala produk Accuhaler Ventolin tidak berdaftar dengan PBKD. Selain itu, produk Accuhaler Seretide di Malaysia adalah dikilangkan di Amerika Syarikat manakala produk yang terlibat dengan tarik balik di pasaran UK adalah kelompok produk yang dikilangkan di UK sendiri.
Dalam hal ini, KKM sekali lagi ingin menegaskan bahawa produk Accuhaler Seretide di pasaran Malaysia adalah selamat, berkualiti dan berkesan. Oleh yang demikian, pesakit asma yang telah dibekalkan dengan Accuhaler Seretide ini tidak perlu khuatir atau was-was untuk menggunakan produk tersebut.
KKM sentiasa mengambil berat akan kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk farmaseutikal sebelum produk tersebut diluluskan untuk pendaftaran. Pengawasan mutu produk farmaseutikal yang berdaftar di pasaran turut dilakukan bagi memastikan produk tersebut benar-benar selamat. Orang awam boleh menyemak status pendaftaran produk di laman sesawang Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di www.npra.moh.gov.my atau menghubungi pihak NPRA di talian 03-78835538 atau Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) di talian 1800 88 6722.
Semua produk yang berdaftar di Malaysia turut dilabelkan dengan nombor pendaftaran dan dilengkapi dengan label hologram. Sekiranya ketulenan hologram diragui, orang awam juga boleh mengesahkan kesahihannya melalui aplikasi MediTag Checker yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Play di telefon pintar masing-masing.
Sekian, terima kasih
DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
4 MAC 2018
Categories: Press
You must be logged in to post a comment.