Pharmacy

Kenyataan Akhbar KPK 4 Mac 2018 – Isu Penjualan Dan Penyalahgunaan Ubat Batuk

Screen Shot 2018-03-03 at 11.49.49

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius berkenaan laporan yang disiarkan oleh akhbar Harian Metro bertarikh 24 Februari 2018 bertajuk “Resipi Bunuh Diri”. Laporan tersebut menyentuh isu mengenai penjualan dan penyalahgunaan ubat batuk di mana ubat batuk tersebut digunakan sebagai salah satu bahan penyediaan “chakoroi” yang merupakan campuran air ketum dan minuman berkarbonat.

KKM ingin menegaskan bahawa persediaan ubat batuk dalam apa jua bentuk serta yang mengandungi racun berjadual adalah dikawal di bawah Akta Racun 1952. Oleh yang demikian, penjualan ubat batuk tersebut hanya dibolehkan untuk tujuan perubatan. Penjualan ubat batuk tersebut juga hanya boleh dilakukan oleh pengamal perubatan dan ahli farmasi berlesen serta perlulah mematuhi peruntukan undang-undang di bawah Akta Racun 1952.

Untuk makluman, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis-premis yang disyaki menjual ubat batuk bukan untuk tujuan perubatan di seluruh negara pada 22 Ogos 2017 berdasarkan aduan yang diterima. Hasil daripada pemeriksaan, sebanyak 100,480 botol ubat batuk telah dirampas untuk siasatan lanjut di bawah Akta Racun 1952.

Sehubungan itu, KKM ingin memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pengamal perubatan dan ahli farmasi berlesen yang didapati menjual ubat batuk bukan untuk tujuan perubatan di bawah Akta Racun 1952. Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda RM 3,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi sentiasa dan akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang ke atas semua premis-premis yang menjual ubat-ubatan dan produk kesihatan bagi memastikan penjualan tersebut mematuhi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan. Selain itu, kerjasama antara agensi seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) juga akan dipertingkatkan bagi membanteras penjualan dan penggunaan ubat batuk bukan untuk tujuan perubatan.

Bagi membanteras gejala ini, KKM amat mengalu-alukan sebarang aduan, maklumbalas dan cadangan daripada orang awam berkenaan aktiviti penjualan ubat batuk yang mencurigakan atau perlanggaran-perlanggaran lain di bawah undang-undang yang dikuatkuasakan melalui talian 03-7841 3200 atau dengan melayari portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

 

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

4 Mac 2018

Categories: Pharmacy, Press

Tagged as: ,