Non-communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 16 Mac 2018 -Sempena Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal Mac 2018

Kanser merupakan salah satu penyakit kronik yang sering digeruni dan boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia, jantina dan bangsa. Menurut laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2007-2011, kanser kolorektal merupakan kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki (16.4%) dan kanser kedua paling kerap berlaku dalam kalangan wanita (10.7%).

kanserUsus.KPK

Pada tahun 2016, kanser menyumbang sebanyak 12.6 peratus kematian yang berlaku di semua hospital Kementerian Kesihatan Malaysia dan 26.7 peratus kematian di hospital-hospital swasta diseluruh negara. Sementara itu, pada tahun 2015, kanser kolorektal merupakan penyumbang peratus ketiga tertinggi (7.3%) kematian akibat kanser yang berlaku di hospital-hospital KKM, selepas kanser paru-paru (14.4%) dan kanser payu dara (9.1%).

Risiko kejadian kanser kolorektal meningkat dengan pertambahan usia, pernah disahkan mempunyai kolon polip, menghidap radang usus dan mempunyai keluarga yang disahkan mengidap kanser kolorektal. Selain itu, amalan gaya hidup sedentari, tidak aktif dan kurang pengambilan serat, sayur-sayuran dan buah-buahan kerap dikaitkan sebagai antara faktor yang meningkatkan risiko kejadian kanser kolorektal.

Lebih dari 60 peratus kes kanser kolorektal di negara ini dikesan pada tahap III dan IV. Di antara faktor yang menyumbang kepada perkara ini ialah kurangnya kesedaran mengenai kepentingan menjalankan ujian saringan dan pengesanan awal. Di samping itu, tidak dinafikan terdapat pesakit yang cenderung untuk mendapatkan rawatan alternatif berbanding rawatan di hospital di mana kebanyakan pesakit ini akhirnya akan kembali ke hospital pada peringkat kanser yang telah merebak (advanced stage), dan, ini jelas mengurangkan peluang untuk sembuh sepenuhnya.

Kanser usus (1)

Menjalani ujian saringan bagi mengesan kehadiran kanser pada peringkat awal serta mengenali gejala-gejala dan tanda-tanda amaran kehadiran kanser kolorektal merupakan langkah yang sangat penting dalam membantu meningkatkan peluang agar kanser ini dapat dirawat dengan baik. Antara tanda-tanda amaran ini adalah perubahan pada pola kebiasaan membuang air besar (sembelit berselang dengan cirit-birit), najis berdarah, dan sakit perut yang kerap berulang. Selain itu, rasa letih dan lesu serta hilang berat badan juga merupakan tanda-tanda amaran kanser. Walaubagaimana pun, tanda-tanda ini mungkin tidak wujud pada peringkat awal. Justeru itu, menjalani ujian saringan adalah penting. KKM menyediakan menyediakan perkhidmatan saringan kanser kolorektal di lebih 500 klinik kesihatan di seluruh negara. Perkhidmatan saringan kanser ini juga turut disediakan oleh pihak swasta dan NGO dengan kadar bayaran tertentu.

Mesej utama yang ingin KKM sampaikan sempena Bulan Kesedaran Kanser Kolorektal pada bulan Mac ini adalah menyeru orang ramai agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, elak kehidupan sedentari dan perbanyakkan mengambil makanan yang tinggi serat, jalani ujian saringan sekiranya anda tidak mempunyai tanda dan gejala serta berusia antara 50-70 tahun, kenali tanda-tanda amaran kanser kolorektal dan dapatkan nasihat doktor untuk pemeriksaan lanjut. Jangan berlengah. Tindakan anda boleh menyelamatkan nyawa.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

16 Mac 2018

Categories: Non-communicable disease, Press

Tagged as: ,