Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 3 April 2018 – Penguatkuasaan “Ops Tapak Binaan” Di Bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975

“21 Pengarah Syarikat Tapak Binaan Akan Didakwa”

Dalam penguatkuasaan Ops Tapak Binaan yang dijalankan di seluruh negara pada 13 dan 14 Mac 2018, sebanyak 978 premis tapak binaan telah diperiksa. Sejumlah 130 (13.3%)  premis dikesan melakukan kesalahan membiarkan pembiakan  serangga pembawa penyakit berlaku. Sebanyak 127 notis kompaun akan dikeluarkan dalam masa terdekat apabila proses permohonan izin kompaun diperolehi daripada Timbalan Pendakwaraya.  Sebanyak 21 pengarah syarikat tapak binaan akan di dakwa di mahkamah.

Notis kerja pembersihan di bawah Seksyen 8(2) APSPP 1975 turut dikeluarkan kepada 65 premis yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk berlaku. Sebanyak 18 premis tapak binaan diberi arahan penutupan di bawah Seksyen 8(3)(aa), akta yang sama bagi menjalankan aktiviti pencegahan dan pembersihan agar premis bebas daripada serangga pembawa penyakit khususnya nyamuk Aedes.

Tujuan operasi dijalankan adalah bagi mengurangkan kejadian kes Denggi dikalangan masyarakat. Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa optimis dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan APSPP 1975 secara berterusan bagi membendung peningkatan kes Denggi disamping mengurangkan risiko jangkitan Demam Denggi.

Justeru KKM menyeru seluruh masyarakat untuk bersama-sama menjalankan aktiviti pencegahan termasuk membersihkan kawasan persekitaran rumah dan meluangkan masa setiap minggu untuk melaksanakan aktiviti cari dan musnah tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes agar dapat mengurangkan risiko jangkitan Demam Denggi bagi mencapai kesejahteraan hidup melalui persekitaran yang sihat dan selamat.

 

Tiada Aedes, Tiada Zika, Tiada Chikungunya dan Denggi.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

 

3 April 2018