Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan akhbar bertajuk “Hepatitis A in NSW linked to frozen fruit” dan “Recall of creative gourmet frozen pomegranate linked to Hepatitis A outbreak” yang disiarkan melalui akhbar dalam talian 7 News Sydney https://au.news.yahoo.com/nsw/ pada 6 April 2018 dan 7 April 2018. Akhbar tersebut melaporkan tujuh kes Hepatitis A di New South Wales, Australia yang dikaitkan dengan produk buah delima (pomegranate) sejukbeku yang diimport dan dijual di rangkaian pasaraya Coles.
Mengikut New South Wales Food Authority pada 9 April 2018, sebagai langkah berjaga-jaga syarikat Entyce Food Ingredients sedang membuat penarikan balik Pomegranate Arils berjenama Creative Gourmet yang diimport dari Mesir dan dijual di pasaraya Coles. Produk yang terlibat adalah produk buah delima sejukbeku, berat 180g dengan tarikh baik sebelum dan termasuk 21 Mac 2020.
Makanan yang dicemari dengan virus Hepatitis A boleh menyebabkan radang atau bengkak hati. Jangkitan virus Hepatitis A boleh merebak melalui makanan yang tercemar atau pengendalian yang tidak bersih. KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang menjalankan pemantauan di semua pintu masuk dan sebagai langkah berjaga-jaga, produk buah delima sejukbeku dari Mesir akan dikenakan pemeriksaan tahan, uji, lepas di mana sampel akan diambil untuk analisis dan produk tersebut hanya akan dilepaskan sekiranya keputusan analisis menunjukkan tiada pencemaran virus Hepatitis A.
Semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Pihak yang terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya adalah bertanggungjawab untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan. Kegagalan mematuhi peraturan tersebut adalah satu kesalahan dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih daripada tiga (3) tahun atau denda atau kedua-duanya.
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
9 APRIL 2018
Categories: Food Safety, Press
You must be logged in to post a comment.