Food Safety

Kenyataan Akhbar KPK 20 April 2018 – Isu Produk Marjerin Yang Mengandungi Glycidol dan 3-MCPD (3-monochloropropane-1,2-diol)

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan portal dalam talian bertajuk “Shocking analysis reveals a causing substances in these brands of margarine” melalui pautan https://www.worldofbuzz.com/shocking-analysis-reveals-cancer-causing-substances-in-these-18-brands-of-butter/ pada 16 April 2018. Akhbar tersebut melaporkan pihak Hong Kong Consumer Council mendapati 18 jenama marjerin di pasaran Hong Kong mengandungi glycidol (epoxy propanol) dan 16 jenama marjerin pula dikesan mengandungi 3-MCPD (3-monochloropropane-1,2-diol) yang berkemungkinan boleh menyebabkan kanser.

butter

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan kandungan glycidyl esters (GE) dan 3-MCPD esters ke atas beberapa produk marjerin di Malaysia. Hasil pemantauan mendapati kadar pendedahan pengguna di Malaysia terhadap GE dan 3-MCPD esters melalui pengambilan marjerin adalah rendah dan tidak mendatangkan risiko kesihatan kepada pengguna.

Walau bagaimanapun, sehingga kini tiada maklumat saintifik yang jelas mengenai peratus kandungan GE dalam makanan yang boleh bertukar kepada glycidol di dalam usus. Glycidol merupakan bahan yang terhasil dari penguraian GE di dalam usus. GE adalah sejenis bahan cemar yang dikesan dalam semua jenis minyak dan lemak sayuran yang terhasil semasa proses penapisan pada suhu tinggi yang melebihi 240°C.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)  www.facebook.com/bkkmhq

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

20 APRIL 2018

Categories: Food Safety, Press

Tagged as: