Press

Kenyataan Akhbar KPK 3 Mei 2018 – Situasi Terkini Kes Rabies di Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat satu (1) kes kematian rabies yang baru disahkan daripada Kampung Sebangkoi Baru, Daerah Simunjan, Bahagian Samarahan, Sarawak.

Bagi tahun 2018, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak sehingga 3 Mei 2018 adalah sebanyak tiga (3) kes. Dengan pengesahan kes ini, jumlah kes rabies di kalangan manusia di Sarawak semenjak 30 Jun 2017 hingga 3 Mei 2018 adalah sebanyak sembilan (9) kes di mana lapan (8) kes telah meninggal dunia dan satu (1) kes telah didiscaj dari hospital.

Kes kematian rabies ini merupakan seorang kanak-kanak lelaki, berumur 11 tahun yang merupakan seorang pelajar dari salah sebuah Sekolah Kebangsaan di Simunjan. Kes mula menunjukkan tanda dan gejala pada 18 April 2018 seperti sakit dan lemah pada bahagian sebelah kanan lengan dan muntah-muntah.  Pada 19 April 2018, kes dibawa oleh ibubapanya ke klinik swasta dan seterusnya ke Hospital Serian pada hari yang sama, di mana beliau telah didiagnosa mengalami “Acute gastroenteritis” (AGE). Walau bagaimanapun semasa berada di wad Hospital Serian, keadaan kes semakin tenat dan pada 22 April 2018, kes telah mengalami serangan sawan. Pada keesokan harinya, kes telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut. Sampel klinikal telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan, Kuala Lumpur pada 2 Mei 2018 dan keputusannya telah didapati positif jangkitan virus rabies. Keadaan kes semakin teruk dan meninggal dunia pada 3 Mei 2018 pada jam 12.06 tengah hari dengan penyebab kematian sebagai Rabies encephalitis.

Kes ini disyaki berkemungkinan pernah terdedah kepada gigitan anjing atau haiwan lain yang berpenyakit rabies melalui tanda luka pada tubuhnya yang telah sembuh. Namun begitu, hasil soal siasat bersama ibubapa, mereka tidak dapat mengesahkan sama ada kes pernah digigit oleh anjing atau haiwan lain.

Sehingga 2 Mei 2018, terdapat 30 buah kawasan di lima (5) Bahagian di Sarawak, iaitu Serian (21), Sri Aman (1), Kuching (4), Samarahan (3) dan Sarikei (1) telah diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan rabies oleh Kerajaan Negeri Sarawak.

19983438_10154541842811237_7532608910120239056_o

KKM menasihatkan orang awam agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan dari dijangkiti penyakit rabies:

  • Cuci bahagian tubuh yang digigit dengan sabun dan air mengalir selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
  • Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika telah mengalami gigitan haiwan seperti anjing atau kucing peliharaan yang agresif atau anjing liar;
  • Pastikan anjing peliharaan telah mendapatkan suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan kontak bersama anjing atau haiwan lain;
  • Jika anjing atau kucing peliharaan didapati tidak sihat atau agresif, dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar setempat;
  • Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  • Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan kerap membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas kontak dengan anjing peliharaan.

KKM dan JKN Sarawak akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Orang awam di Sarawak yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan penyakit rabies dan langkah-langkah pencegahannya bolehlah menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak di talian hotline iaitu 082-443248 pada setiap hari, Isnin hingga Ahad, jam 8 pagi hingga 5 petang atau melalui emel: cprc_sarawak@moh.gov.my.

 

DATUK DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

3 Mei 2018

Categories: Press

Tagged as: