Press

Kenyataan Akhbar KPK 10 Mei 2018 – Situasi Terkini Kes Rabies di Kalangan Manusia di Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan terdapat satu (1) kes rabies baru disahkan dari Kampung Sandong, Kuching, Sarawak. Ia menjadikan empat (4) kes rabies disahkan dalam kalangan manusia di Sarawak bagi tahun 2018. Semenjak pengisytiharan wabak rabies di Sarawak pada 1 Julai 2017, jumlah keseluruhan kes rabies yang disahkan dalam kalangan manusia adalah sepuluh (10). Daripada jumlah tersebut, lapan (8) kes telah meninggal dunia, satu (1) kes telah didiscaj dari hospital dan dirawat di rumah; manakala kes terbaru ini dalam keadaan kritikal di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Kes terbaru ini merupakan seorang kanak-kanak lelaki warganegara asing berumur tiga (3) tahun sembilan (9) bulan. Kes telah memasuki Kuching Sarawak bersama ibunya pada bulan September 2017 menggunakan pas lawatan sosial.

Hasil siasatan mendapati kanak-kanak tersebut telah digigit oleh anjing liar semasa berada di tempat kediaman mereka di Kampung Sandong, Kuching pada awal April 2018. Kanak-kanak ini telah dibawa ke Klinik Kesihatan kerajaan yang berhampiran di mana luka gigitan telah dicuci dan suntikan anti-tetanus (ATT) diberikan dan dinasihatkan mendapatkan rawatan selanjutnya di fasiliti kesihatan.

Pada 3 Mei 2018, kes telah dibawa oleh pihak keluarga ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, HUS kerana mengalami demam panas selama lima (5) hari serta menunjukkan tanda-tanda kegelisahan dan kekeliruan.  Kes seterusnya dimasukkan ke wad kanak-kanak HUS.  Semasa di wad, kes mula menunjukkan tanda-tanda klinikal rabies seperti hydrophobia dan kesukaran menelan.  Sampel klinikal kes telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan pada 8 Mei 2018 dan disahkan positif rabies.

Sehingga 8 Mei 2018, terdapat 30 buah kawasan di lima (5) bahagian di Sarawak telah diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan rabies oleh Kerajaan Negeri Sarawak; iaitu Serian (21 kawasan), Kuching (4 kawasan), Samarahan (3 kawasan) dan masing-masing satu (1) kawasan di Sri Aman dan Sarikei.

rbies

KKM ingin menegaskan semula bahawa kejayaan mencegah jangkitan rabies pada manusia amat bergantung kepada kejayaan mengawal rabies dalam kalangan anjing; di mana orang ramai juga perlu memainkan peranan iaitu dengan membawa haiwan peliharaan ini untuk divaksinasi dan tidak memberi makan kepada anjing liar. Selain itu, langkah pencegahan yang paling penting adalah dengan mengelakkan diri dari gigitan anjing atau haiwan liar, kerana kita tidak mengetahui status kesihatan haiwan tersebut.

KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

10 Mei 2018

Categories: Press

Tagged as: