Press

Kenyataan Akhbar KPK 13 Mei 2018 – Sempena Southeast Asia Conference On Tobacco Control 2018

IMG_0170

Merokok adalah merupakan pembunuh utama dan setiap tahun dianggarkan 20,000 rakyat Malaysia mati akibat komplikasi merokok.  Semenjak tahun 2003, Malaysia telah menjalankan pelbagai aktiviti bagi memastikan kesihatan rakyat akibat bahaya asap rokok dapat dikawal secara optima. Selaras dengan komitmen negara terhadap perjanjian WHO Framework Convention on Tobacco Control (FCTC) sejak tahun 2005 dan ke arah mencapai WHO Global NCD Target 2025, satu Pelan Strategik Kebangsaan bagi Kawalan Tembakau telah dibangunkan.

Pelan Strategik ini adalah bagi memastikan hasrat negara untuk menurunkan peratus perokok dan memperluaskan kawasan dilarang merokok tercapai. Salah satu kaedah untuk merealisasikan matlamat tersebut adalah berlandaskan kepada Artikel 8 di dalam WHO FCTC iaitu melindungi golongan bukan perokok dari bahaya asap rokok. Melindungi golongan bukan perokok merupakan salah satu aktiviti sangat berkesan bagi meningkatkan taraf kesihatan masyarakat. Di dalam strategi ini, aktiviti akan menumpu kepada pendekatan membudayakan amalan tidak merokok atau “denormalization” iaitu ketidak-terimaan masyarakat tentang budaya merokok di khalayak ramai. Pendekatan ini akan menyebabkan cetusan perubahan tingkahlaku yang akan menjurus kepada peningkatan kadar berhenti merokok di kalangan perokok.

Di Malaysia, program-program yang dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan Artikel 8 WHO FCTC ialah memperluaskan kawasan diwartakan sebagai tempat-tempat larangan merokok, program Bandar Bebas Asap Rokok (Smoke-free cities), menggalakkan Rumah Bebas Asap Rokok melalui program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) dan menggalakkan polisi bebas rokok secara sukarela kepada individu dan kumpulan berpandukan kriteria Blue Ribbon. Di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004), pewartaan kawasan dilarang merokok adalah di bawah Peraturan 11 dan Peraturan 22. Sehingga kini, di bawah peraturan 11 PPKHT 2004, sebanyak 23 kawasan telah diwartakan sebagai kawasan dilarang merokok.

Di bawah Peraturan 22 pula, sebanyak lima negeri telah mempunyai kawasan-kawasan yang diwartakan sebagai tempat dilarang merokok di bawah Inisiatif Bandar Bebas Asap Rokok iaitu Melaka (Melaka Bebas Asap Rokok, MBAR), Johor (Johor Bebas Asap Rokok, JBAR), Pulau Pinang (Pulau Pinang Bebas Asap Rokok, PENBAR), Kelantan (Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok – IKBAR) dan Terengganu (Terengganu Bebas Asap Rokok, TBAR). Bagi Kuala Lumpur, di bawah inisiatif Kuala Lumpur Bebas Asap Rokok (KLBAR), semua laluan pejalan kaki dan jejantas berbumbung serta terowong pejalan kaki bawah tanah di sekitar ibu kota telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok berkuat kuasa 15 April 2017.

Pelaksanaan Inisiatif Bandar Bebas Asap Rokok adalah hasil kerjasama di antara pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan badan-badan bukan kerajaan. Pewartaan kawasan larangan merokok ini adalah bertujuan bagi melindungi golongan orang ramai daripada bahaya asap rokok. Selain daripada itu, tujuan lain adalah untuk membudayakan amalan tidak merokok dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan menghadkan kawasan yang dibenarkan merokok terutama di kawasan tumpuan orang awam.  Peraturan kawasan larangan merokok melindungi hak golongan bukan perokok untuk bernafas dengan udara yang segar. Di samping itu juga, peraturan ini membantu mengurangkan pencemaran udara persekitaran serta kotoran sampah.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengalu-alukan penganjuran persidangan SE Asia Conference on Tobacco Control 2018 anjuran Malaysian Council on Tobacco Control (MCTC) dengan kerjasama DBKL, Local Agenda 21 dan Lembaga Promosi Malaysia (MySihat). Ini adalah salah satu langkah untuk memperkemaskan lagi pelaksanaan Artikel 8 WHO FCTC di Malaysia dan juga di negara-negara Asia Tenggara yang lain.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

13 Mei 2018

Categories: Press

Tagged as: