Drug Safety

Kenyataan Akhbar KPK 16 Mei 2018 – Isu Kesan Advers Produk Tidak Berdaftar “Ausbee Australia Ausbee Herbal Powder Capsules” dan “Shen Loon She Edoly Capsule”

Kenyataan ini dikeluarkan susulan daripada artikel bertajuk HSA Warns Of 2 Health Products From Malaysia; Woman Admitted to ICU, Man Develops Medical Problemsdalam The Star Online bertarikh 14 Mei 2018 yang melibatkan kesan advers akibat penggunaan dua (2) produk tradisional yang dikesan mengandungi steroid dan bahan terlarang.

Produk Ausbee Australia Ausbee Herbal Powder tidak pernah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) . Manakala, Shen Loon She Edoly Capsule telah dibatalkan pendaftarannya oleh PBKD pada 29 Mac 2007 kerana mengandungi bahan terlarang bagi formulasi produk tradisional.

  

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK INI

Penjual dan pengedar produk ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan pemilikan untuk jualan produk ini melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

DEsO1YpVwAAkEN9

PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM

Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk yang dinyatakan digesa supaya mendapatkan nasihat serta rawatan dari profesional kesihatan dengan SEGERA. Pemberhentian mendadak pengambilan produk yang mengandungi steroid tanpa pengawasan professional kesihatan boleh menyebabkan simptom-simptom serius seperti lemah badan, kekeliruan dan tekanan darah rendah terutamanya bagi pengguna yang telah mengambil produk ini lebih daripada beberapa minggu.

Orang awam diminta untuk memastikan produk yang diguna adalah produk berdaftar di mana ianya mempunyai pelekat hologram dan dilabel dengan nombor Pendaftaran MAL. Semakan status pendaftaran sesuatu produk boleh dibuat melalui laman sesawang https//:npra.moh.gov.my atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

16 Mei 2018