Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan daripada akhbar Harian Metro, Berita Harian dan The Star bertarikh 29 Mei 2018 dan 30 Mei 2018 mengenai isu yang tular melalui media sosial berdasarkan rakaman video yang memaparkan beberapa orang pengendali makanan yang dipercayai dari Restoran Raj’s Banana Leaf, Bangsar, Kuala Lumpur sedang membasuh pinggan makan menggunakan air lopak yang bertakung di tepi jalan belakang restoran tersebut.
KKM amat memandang serius perkara ini. Sehubungan itu, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menjalankan siasatan ke atas restoran tersebut. DBKL telah mengambil tindakan penutupan ke atas premis tersebut di bawah UUK 28(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 berkuatkuasa mulai 30 Mei 2018.
Di samping itu, KKM telah mengeluarkan tiga notis 32B Akta Makanan 1983 di atas kesalahan pengendali makanan yang tidak mempunyai suntikan pelalian anti tifoid dan tidak menghadiri latihan pengendali makanan, restoran yang tidak berdaftar dengan KKM dan kegagalan premis makanan bebas daripada makhluk perosak.
KKM sentiasa menjalankan pemeriksaan premis makanan secara rutin. Dari tahun 2016 hingga kini, sebanyak 289,919 pemeriksaan premis makanan di seluruh negara telah dijalankan di mana 5,587 (2%) premis makanan tidak bersih termasuk restoran dan kedai makan telah ditutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983. Selain itu, sebanyak 40,288 kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang tidak mematuhi peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. KKM akan sentiasa memantau dan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan dalam menjalankan pemeriksaan premis makanan bagi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan terjamin.
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. KKM ingin menasihati orang ramai supaya tidak mengunjungi premis makanan yang tidak bersih.
Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah/Bahagian/Kawasan yang terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
30 MEI 2018
Categories: Food Safety, Press
You must be logged in to post a comment.