Press

Kenyataan Akhbar KPK 1 Jun 2018 – Kes Terbaru Rabies di Kalangan Manusia di Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan terdapat satu (1) kes kematian rabies yang disahkan pada 31 Mei 2018. Kes baru ini merupakan seorang perempuan dewasa berumur 21 tahun dari Kampung Koran Bari, Serian, Sarawak. Ia menjadikan jumlah kes rabies yang disahkan berlaku dalam kalangan manusia pada tahun 2018 seramai lima (5) kes dan kesemua kes telah meninggal dunia.

Semenjak pengisytiharan wabak rabies di Sarawak bermula pada 1 Julai 2017, jumlah keseluruhan kes rabies yang telah disahkan di kalangan manusia adalah sebanyak 11 orang.  Daripada jumlah tersebut, 10 kes telah meninggal dunia, manakala, satu (1) kes telah didiscaj dari hospital dengan defisit neurologi teruk dan kini dirawat di rumah.

Kes baru ini mempunyai sejarah telah digigit oleh anjing peliharaan sendiri di bahagian lengan kanan ketika cuba memandikan anjing tersebut pada 20 April 2018.  Kes telah mendapatkan rawatan luka dan suntikan anti-tetanus di Hospital Serian pada malam kejadian dan telah dinasihati untuk mendapatkan rawatan lanjut di Klinik Gigitan Anjing, Hospital Serian pada keesokan hari.  Namun, kes tidak pergi ke klinik tersebut. Anjing yang menggigit kes adalah seekor anjing liar yang diambil dan dipelihara oleh ayah kes tiga (3) minggu sebelum kejadian ini berlaku. Anjing tersebut juga didapati tidak pernah menerima sebarang vaksinasi anti-Rabies.

Pada 20 Mei 2018, kes telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Umum Sarawak (HUS) kerana mengalami kesakitan dan lemah di bahagian bahu kanan selama empat (4) hari.  Kes seterusnya dimasukkan ke wad pengasingan HUS. Keadaan kes menjadi semakin teruk dengan menunjukkan simptom halusinasi, demam dan telah hilang refleks pada kedua-dua belah tangannya.  Kes telah disahkan meninggal dunia pada 31 Mei 2018 jam 5:01 pagi. Sebab kematian adalah Rabies Encephalitis.  Sampel klinikal kes telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), KKM pada 31 Mei 2018 dan disahkan positif rabies.

Untuk makluman, sehingga 31 Mei 2018, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 31 buah kawasan di lima (5) bahagian di Sarawak sebagai kawasan dijangkiti wabak rabies. Bahagian yang terlibat adalah Serian (21 kawasan), Kuching (5 kawasan), Samarahan (3 kawasan) serta masing-masing satu (1) kawasan di Sri Aman dan Sarikei. Kawasan positif rabies terbaru telah diisytiharkan pada 28 Mei 2018 adalah Kampung Selarat, Daerah Lundu, Kuching.

Virus+reaches+brain+and+causes+fatal+encephalitis.

KKM ingin menegaskan semula bahawa pencegahan jangkitan rabies pada manusia amat bergantung kepada kejayaan mengawal rabies di kalangan anjing. Justeru, orang ramai perlu memberi kerjasama dengan membawa haiwan peliharaan untuk divaksinasi. Juga diingatkan agar tidak mengambil mana-mana anjing liar yang tidak diketahui status vaksinasinya, untuk dipelihara.  Selain itu, langkah pencegahan yang paling penting adalah dengan mengelakkan diri dari gigitan anjing atau haiwan liar kerana tiada sebarang maklumat berkenaan status kesihatan haiwan tersebut.

Di samping itu, KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

1 Jun 2018

Categories: Press

Tagged as: