Press

Kenyataan Akhbar KPK 1 Jun 2018 – Nasihat Mengenai Keracunan Makanan Akibat Memakan Cendawan Atau Kulat Liar

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan kes keracunan makanan yang telah dilaporkan di negara ini akibat memakan cendawan atau kulat liar. Sehingga 31 Mei 2018, sebanyak tujuh (7) kejadian keracunan makanan disebabkan memakan cendawan/kulat liar yang melibatkan 29 orang mangsa, berbanding tiada kejadian dilaporkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2017. Walau bagaimanapun, tiada kematian yang disebabkan keracunan cendawan dilaporkan pada tahun ini.

Kejadian yang terbaru berlaku pada 30 Mei 2018 di Jeram, Kuala Selangor melibatkan 9 kes yang mengalami muntah-muntah dan cirit birit beberapa jam selepas memakan mee segera yang dicampurkan dengan cendawan/kulat liar. Daripada kesemua kes tersebut, tiga (3) telah dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, manakala selebihnya mendapat rawatan pesakit luar di klinik swasta. Siasatan mendapati cendawan/kulat tersebut yang tumbuh selepas waktu hujan telah diperolehi dari belakang sebuah rumah. Sampel cendawan telah dihantar ke Pusat Penyelidikan Cendawan (Mushroom Research Centre), Universiti Malaya untuk pemeriksaan dan telah disahkan sebagai spesis Chlorophyllum molybdites yang beracun.

Chlorophyllum molybdites

Chlorophyllum molybdites yang terlibat dengan Keracunan Makanan di Jeram, Selangor

KKM ingin menasihatkan kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa memilih cendawan untuk dimakan. Sebaiknya hanya memakan spesis cendawan/kulat yang biasa dimakan ataupun yang dijual secara komersial di pasaran dan disahkan selamat. Jika tidak pasti sama ada spesis tersebut beracun atau tidak, adalah lebih baik untuk mengelakkan daripada mengambilnya kerana kemungkinan ianya beracun. Sebagai contoh, kebanyakan cendawan liar yang menyebabkan keracunan makanan merupakan dari spesis Chlorophyllum molybdites yang seakan menyerupai cendawan busut.

Cendawan liar mudah tumbuh di mana-mana terutamanya pada musim hujan. Masyarakat dinasihatkan tidak mengambil cendawan liar untuk dimakan kerana cendawan yang beracun dan tidak beracun mungkin tumbuh berdekatan pada masa yang sama.

Toksin atau racun dari cendawan liar apabila dimakan boleh menyebabkan gejala iritasi gastrointestinal seperti loya, muntah dan cirit birit, gejala neurologikal seperti kecelaruan fikiran (mental confusion), halusinasi, gangguan kordinasi otot (muscle incoordination) dan sawan serta gejala lain seperti demam dan sakit kepala. Sebahagian toksin mempunyai kesan jangka panjang seperti kegagalan buah pinggang (kidney injury). Manakala kesan toksin cendawan yang teruk boleh menyebabkan kematian. Orang ramai dinasihatkan segera ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan jika berasa tidak sihat selepas memakan cendawan.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

1 Jun 2018

Categories: Press

Tagged as: