Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat peningkatan bilangan kes penyakit Tangan, Kaki dan Mulut atau “Hand, Foot And Mouth Disease” (HFMD) di Malaysia. Sehingga 26 Mei 2018, jumlah kes yang dilaporkan adalah sebanyak 21,644 kes berbanding hanya 19,398 kes pada tempoh yang sama pada tahun 2017. Bilangan kes di kebanyakan negeri telah melepasi paras amaran.
Penyakit HFMD mudah menjangkiti orang lain terutamanya kanak-kanak di premis tempat tumpuan mereka seperti taska dan tadika. Bagi tahun 2018, sehingga kini, sebanyak 316 buah taska/tadika/tabika/pra-sekolah melaporkan kluster HFMD di premis mereka, iaitu 52% dari jumlah wabak yang dilaporkan. Survelan virus HFMD juga mendapati peningkatan aktiviti enterovirus-71 (EV71) dalam persekitaran semenjak bulan Mac 2018.
Penyakit HFMD disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71). Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit. Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh (7) ke sepuluh (10) hari. Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis.
Justeru, KKM menggesa orang ramai khususnya pengusaha dan penjaga kanak-kanak di taska/tadika/tabika/pra-sekolah untuk:
- Sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak;
- Membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD. Kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawannya;
- Sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan selepas menguruskan seorang kanak-kanak sebelum mengendalikan kanak-kanak lain;
- Memastikan lampin pakai-buang dibuang dalam tong sampah bertutup; dan
- Melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan.
KKM juga ingin menasihati ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD supaya:
- Tidak membawa anak ke tempat-tempat awam / sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan;
- Mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh / merawat lepuh;
- Membersihkan permainan anak serta lantai rumah termasuk tandas dengan menggunakan larutan campuran klorin; dan
- Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.
Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
7 Jun 2018
Categories: Communicable disease, Press
You must be logged in to post a comment.