Medical profession

Kenyataan Akhbar KPK 30 Jun 2018 – Isu Kekerasan Terhadap Pegawai Perubatan Siswazah Oleh Pegawai Perubatan Pakar

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan portal akhbar atas talian Free Malaysia Today bertarikh 29 Jun 2018 yang bertajuk “Houseman lodges police report against ‘nightmare’ specialist”.

ho issue

Setelah dibuat semakan awal dengan pihak pengurusan Hospital Ampang, didapati bahawa pihak hospital telah menerima laporan aduan secara lisan daripada Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) tersebut dan beliau juga telah membuat laporan kepada pihak polis. Pihak hospital telah menjalankan siasatan segera mengenai perkara ini di mana Pegawai Perubatan Pakar yang berkenaan telah turut memberi keterangan kepada Pengarah Hospital selain memberi keterangan kepada pihak polis. Ini bagi memastikan kedua-dua pihak diberi peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar dari perspektif masing-masing. Pihak hospital turut mengenal pasti saksi bagi membantu siasatan kes ini.

Masyarakat dinasihatkan untuk tidak membuat spekulasi yang akan menggangu siasatan kes ini, terutama memandangkan kes ini adalah di bawah siasatan pihak polis. Sekiranya disabit kesalahan, tindakan tegas termasuk tatatertib boleh diambil terhadap pihak yang berkenaan.

grp

KKM sentiasa mengambil berat terhadap keselamatan dan kesihatan anggotanya, di mana mereka adalah merupakan aset utama dan terbesar buat KKM. Adalah menjadi hasrat setiap individu di KKM untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan dalam suasana yang kondusif. Oleh itu, selaras dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, KKM kekal komited untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan anggota KKM adalah dijaga semasa bertugas.

Sekian terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

30 Jun 2018

Categories: Medical profession, Press