Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 19 Julai 2018 – Situasi Semasa Kejadian Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan situasi terkini HFMD di Malaysia. Pada minggu epid 28/2018 (08/07/2018 sehingga 14/07/2018) sebanyak 2,346 kes dilaporkan berbanding minggu epid 27/2018 (01/07/2018 hingga 07/07/2018) sebanyak 1,436 kes; iaitu peningkatan sebanyak 910 kes (63.4%).

Pada 18 Julai 2018, hari keempat minggu epid 29/2018, sebanyak 722 kes penyakit tangan kaki, tangan dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara. Secara kumulatif, kes HFMD dari minggu epid 1 sehingga kini ialah 33,425 kes. Kebanyakan negeri menunjukkan peningkatan kes pada tahun 2018 berbanding 2017 untuk tempoh yang sama, kecuali Sabah dan Sarawak.

hfmd

HFMD disebabkan oleh enterovirus, di mana dua (2) jenis virus penyebab utama HFMD ialah virus Coxsackie A16 dan Enterovirus71 (EV71). Pada tahun 2018, aktiviti EV71 didapati meningkat sejak Mac 2018. EV71 boleh menyebabkan komplikasi iaitu dehidrasi, keradangan otak (encephalitis), kegagalan jantung dan sistem pernafasan (cardiorespiratory failure) dan kematian. Bagi tahun 2018, tiada kematian disebabkan oleh HFMD atau jangkitan EV71 dilaporkan.

Selain dari promosi kesihatan mengenai kebersihan diri, pengasingan kes dan saringan kanak-kanak sebelum menghadiri sesi di taska, tadika, pra-sekolah dan sekolah; penutupan premis yang mengalami wabak HFMD juga dibuat. Penutupan dibuat selama 10 hari bagi memastikan rantaian jangkitan diputuskan dan pembersihan premis dilaksanakan.

Wabak HFMD didefinisikan sebagai dua (2) atau lebih kes dalam satu lokaliti pada satu tempoh inkubasi yang sama. Untuk sekolah, lazimnya hanya kelas yang terlibat sahaja yang akan ditutup.

Pada 17 Julai 2018, sebanyak 18 premis ditutup melibatkan enam (6) buah taska dan 12 buah tadika/pra-sekolah. Jumlah premis yang ditutup sehingga kini adalah 419 iaitu 198 taska, 197 tadika/prasekolah dan 23 sekolah.

HFMD 1

Justeru, KKM ingin mengingatkan orang ramai, khususnya ibu bapa, pengusaha taska/tadika/pra-sekolah serta pihak sekolah terlibat untuk:

  1. tidak membawa anak yang dijangkiti HFMD ke tempat-tempat awam / sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan;
  2. bawalah anak ke fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya menunjukkan gejala HFMD.
  3. sentiasa mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh / merawat lepuh;
  4. membersihkan alatan mainan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak serta lantai rumah termasuk tandas dengan menggunakan larutan campuran kloroks;
  5. memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul; dan
  6. membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum masuk ke kelas.

HFMD 3

KKM akan terus memantau situasi kejadian HFMD di Malaysia. Keadaan HFMD di Malaysia masih dalam keadaan terkawal meskipun kes didapati meningkat. Orang ramai diminta sentiasa mematuhi nasihat yang diberikan oleh pihak kesihatan. Kerjasama semua pihak dan agensi berkaitan adalah amat diharapkan agar dapat kita bersama-sama menangani situasi ini.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

 

19 Julai 2018

Categories: Communicable disease, Press

Tagged as: