Press

Kenyataan Akhbar KPK 20 Julai 2018 – Tiada Sekolah di Negeri Selangor Ditutup Disebabkan oleh Penyakit Tangan, Kaki Dan Mulut (HFMD) Sehingga Kini

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius kepada dakwaan yang tular di media sosial kononnya terdapat 51 buah sekolah telah ditutup di sebuah daerah dalam negeri Selangor. Berdasarkan pemantauan yang dijalankan oleh KKM bagi tahun 2018, sehingga kini TIADA sebarang penutupan sekolah mahupun kelas dalam sekolah di seluruh negeri Selangor akibat jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD). Didapati terdapat hanya dua (2) kluster HFMD dilaporkan berlaku di dua (2) sekolah berlainan dan kedua-dua sekolah ini atau kelas di dalam sekolah terbabit TIDAK DITUTUP. Sekolah atau kelas yang terlibat tidak ditutup kerana mengambilkira hasil pemeriksaan oleh pasukan kesihatan yang mendapati tiada pendedahan risiko jangkitan HFMD kepada murid-murid lain.

 

WhatsApp Image 2018-07-20 at 13.40.06

Orang ramai dinasihatkan supaya menyemak terlebih dahulu maklumat atau berita berkaitan HFMD sebelum mempercayainya, terutama maklumat tidak tepat yang dikeluarkan oleh pihak tertentu selain daripada KKM. Orang ramai juga diminta agar mengelak daripada menyebarkan berita yang tidak tepat tanpa mendapat pengesahan daripada pihak KKM terlebih dahulu.

Bilangan kes HFMD dijangka akan terus meningkat kerana kesedaran dan keprihatinan ibu bapa membawa anak yang mengalami gejala HFMD berjumpa pengamal perubatan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan. Ini menyebabkan peningkatan kes kerana HFMD adalah penyakit yang perlu dinotifikasikan kepada pihak kesihatan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Bagi tahun 2018, sehingga hari ini tiada kematian disebabkan HFMD atau enterovirus 71 (EV71) dilaporkan di Malaysia.

HFMD 2

Orang ramai khususnya ibu bapa, pengusaha taska dan tadika serta guru-guru dinasihatkan untuk sentiasa menerapkan amalan menjaga kebersihan diri dan persekitaran termasuk mencuci tangan dengan betul kepada anak-anak dan murid-murid. Selain saringan di pintu masuk taska, tadika, pra-sekolah dan sekolah (gate keeping), ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memeriksa anak setiap pagi sebelum dihantar ke pusat-pusat tersebut. Sekiranya anak menunjukkan sebarang gejala atau tanda jangkitan penyakit, dinasihatkan agar membawa anak untuk mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berhampiran. Sekiranya anak ini bergejala, janganlah dibenarkan mereka menghadiri tempat belajar atau berkunjung ke tempat awam bagi mengelakkan penularan jangkitan kepada kanak-kanak lain.

Sesungguhnya kawalan dan pencegahan penyakit berjangkit termasuk HFMD memerlukan peranan aktif oleh semua pihak dan ia hendaklah bermula dari diri sendiri dan di rumah. Semoga kerjasama dan tindakan pencegahan serta kawalan dari semua pihak akan dapat mengurangkan penularan jangkitan HFMD di Malaysia.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

20 Julai 2018

Categories: Press

Tagged as: