Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 24 Julai 2018 – Kerjasama Interagensi Bagi Menangani Peningkatan Kejadian Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan, pada minggu epid 29/2018 (15/07/2018 hingga 21/07/2018) sebanyak 3,852 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan berbanding minggu epid 28/2018 (08/07/2018 hingga 14/07/2018) sebanyak 2,346 kes; iaitu peningkatan sebanyak 1,506 kes (64.2%).

Pada 23 Julai 2018, hari kedua minggu epid 30/2018, sebanyak 564 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara. Kumulatif kes HFMD dari minggu epid 1 sehingga 23 Julai 2018 ialah 35,886 kes. Kebanyakan negeri menunjukkan peningkatan kes pada tahun 2018 berbanding 2017 untuk tempoh yang sama, kecuali negeri Sarawak. Jumlah premis yang ditutup di seluruh negara sehingga kini adalah 469 iaitu 217 taska, 223 tadika/prasekolah, beberapa kelas dari 27 sekolah, sebuah (1) sekolah di Pulau Pinang dan sebuah (1) sekolah lagi di Pahang (di mana buat masa ini kedua-dua sekolah ini telah ditutup sepenuhnya).

HFMD (1)

Berikutan jumlah kes HFMD yang melebihi paras amaran (alert threshold) bagi semua negeri, KKM telah mengadakan satu mesyuarat antara agensi-agensi yang bertanggungjawab dalam pemantauan taska, tadika, pra-sekolah dan sekolah rendah. Mesyuarat yang telah diadakan pada 19 Julai 2018 bertujuan untuk membincangkan strategi bagi pencegahan dan kawalan HFMD.

Pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah bersetuju untuk bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam mencegah dan mengawal HFMD melalui:

  1. pelaksanaan dan pengukuhan saringan di pintu masuk taska, tadika, pra sekolah dan sekolah rendah tahap satu (darjah 1 hingga 3) (gate keeping) bagi memastikan hanya kanak-kanak yang tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sahaja yang dibenarkan masuk ke kelas.
  2. meningkatkan tahap kebersihan di luar dan di dalam premis, termasuk kebersihan alatan mainan kanak-kanak dan keperluan disinfeksi harian setiap kali sesi persekolahan tamat.
  3. penambahan bilangan dan liputan aktiviti bagi meningkatkan kesedaran dan keprihatinan ibu bapa, guru dan kanak-kanak termasuk murid sekolah mengenai kepentingan menjaga kebersihan diri dan persekitaran. Ini termasuk juga cara membasuh tangan yang betul, membuang sampah di tong sampah yang disediakan, serta mencuci tangan selepas ke tandas, sebelum dan selepas makan.

Mesyuarat juga turut dihadiri oleh pegawai dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk membincangkan kebersihan taman permainan di pasaraya dan kompleks membeli belah. Cadangan menyediakan cecair pencuci tangan di tempat terbabit perlu diteliti dan dibincangkan lebih lanjut bagi pelaksanaannya. Mesyuarat juga berpendapat pentingnya tanggungjawab sosial korporat dalam melaksanakan inisiatif ini kelak, di mana dengan kolaborasi ini diharapkan dapat membantu pelaksanaan langkah pencegahan dan kawalan penyakit HFMD.

Kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11/2016 telah memberi cuti kuarantin kepada kakitangan Kerajaan sekiranya anak atau jagaannya menghidap enam (6) jenis penyakit termasuk HFMD. Ia bagi memudahkan ibu atau bapa menguruskan anak khususnya apabila dimasukkan ke wad atau apabila pusat jagaan anak diarahkan tutup oleh pihak berkuasa. Wakil Persekutuan Majikan-majikan Malaysia yang turut serta dalam mesyuarat ini akan meneliti perkara ini dari segala aspek termasuk perundangan, sekiranya langkah yang sama hendak diambil oleh sektor swasta.

Hasil mesyuarat ini merupakan langkah bagi memperkukuhkan kolaborasi di antara pelbagai kementerian, agensi dan pelbagai pemegang taruh dalam kawalan serta pencegahan penyakit HFMD. Diharapkan kerjasama bersepadu dari semua pihak ini akan dapat mengurangkan kejadian wabak dan penularan jangkitan HFMD di Malaysia dalam masa terdekat dan berterusan.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

 

24 Julai 2018

 

hmds

 

Categories: Communicable disease, Press

Tagged as: