Press

Kenyataan Akhbar KPK 24 Julai 2018 – Penularan Gambar Notis Penutupan Klinik 1Malaysia

Penubuhan Klinik 1Malaysia bertujuan meningkatkan akses kesihatan primer di kawasan bandar, khususnya komuniti berpendapatan rendah. Sejumlah 347 buah Klinik 1Malaysia telah beroperasi di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan bukan sahaja kepada golongan sasar, malah kepada setiap golongan masyarakat setempat.

Seperti diumumkan oleh YB Menteri Kesihatan sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sememangnya sedang dalam proses untuk mengkaji semula Klinik 1Malaysia di mana ianya akan dijenamakan semula kepada Klinik Komuniti. Dalam proses semakan semula ini, KKM akan turut meneliti samada untuk:

  1. Menaik taraf beberapa Klinik Komunti ini kepada Klinik Kesihatan
  2. Menempatkan lebih banyak Pegawai Perubatan dan Pegawai Farmasi/Pembantu Pegawai Farmasi ke Klinik Komuniti secara berperingkat
  3. Menutup beberapa Klinik Komuniti yang memenuhi syarat-syarat tertentu. Di antara kriteria yang diteliti untuk cadangan penutupan adalah jumlah kedatangan pesakit yang rendah, keberadaan fasiliti kesihatan lain yang berdekatan dan sewa atau kos operasi yang tinggi.

Merujuk kepada gambar notis pemberitahuan penutupan Klinik 1Malaysia di sekitar Lembah Klang yang tular di media sosial, KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga kini KKM masih belum memuktamadkan atau memberi arahan penutupan Klinik Komuniti/Klinik 1Malaysia yang telah dikenal pasti. Ini memandangkan proses kaji semula ini masih perlu dimurnikan sebelum dimuktamadkan oleh pengurusan tertinggi KKM.

Keputusan akan dibuat dalam masa terdekat mengenai perkara ini dan KKM memberi jaminan bahawa proses penutupan klinik yang berkaitan di bawah penjenamaan semula ini akan dijalankan dengan tertib bagi menjamin kelangsungan perkhidmatan kesihatan yang diberikan.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

 

24 Julai 2018

 

Categories: Press