Pharmacy

Kenyataan Akhbar KPK 16 Ogos 2018 – Isu Penangguhan Pemberian Pek Percuma Ubat-Ubat Baru Yang Berkos Tinggi Kepada Pesakit Melalui Patient Access Scheme (PASc).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum berkenaan artikel yang dikeluarkan oleh portal berita online Malay Mail dan Free Malaysia Today (FMT) berkenaan penangguhan pemberian pek percuma ubat-ubat baru yang berkos tinggi kepada pesakit melalui Patient Access Scheme (PASc).

Untuk makluman, PASc adalah skim yang ditawarkan oleh syarikat farmaseutikal kepada KKM untuk menambahbaik akses ubat kepada pesakit terutamanya bagi ubatan yang mahal.

Satu garis panduan iaitu Garis Panduan Permohonan Melaksanakan Patient Access Scheme (PASc) di KKM telah disediakan pada 1 Jun 2018, di mana ianya bertujuan untuk menerangkan proses permohonan, penilaian dan kelulusan PASc di fasiliti KKM. Garis panduan ini bertujuan untuk menyeragamkan proses permohonan melaksanakan PASc agar ianya telus dan memastikan kertas cadangan PASc oleh syarikat farmaseutikal memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Salah satu skim PASc yang ditawarkan oleh pihak syarikat farmaseutikal melibatkan pemberian pek percuma/bonusing yang mengikat dengan pembelian ubat oleh fasiliti kerajaan. Pemberian pek percuma ini dikhuatiri melanggar etika dan menimbulkan isu integriti memandangkan pemberian pek percuma ini tidak dinyatakan secara terperinci dalam rekod pembelian antara pihak syarikat farmaseutikal dan fasiliti KKM. Perkara ini perlu diteliti bersama dengan pihak berwajib.

Oleh itu, proses permohonan PASc yang melibatkan pek percuma/bonusing ditangguhkan buat sementara waktu sehingga  mendapat ulasan daripada Jabatan Audit Negara. Untuk makluman, perkara ini juga telah dijelaskan kepada pihak-pihak berkepentingan (stakeholders).

KKM ingin menegaskan bahawa skim-skim lain dan sedia ada yang sedang dilaksanakan adalah diteruskan seperti biasa di fasiliti kesihatan kerajaan. Pihak KKM juga tiada halangan bagi sebarang pemberian pek percuma (charity/compassionate use) kepada pesakit dengan syarat-syarat (caveats) yang tidak mengikat pembelian oleh KKM.

KKM sentiasa komited di dalam memastikan pesakit mendapat akses kepada ubat-ubatan dan dijalankan secara telus demi kesejahteraan rakyat Malaysia.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

16 Ogos 2018

 

 

Categories: Pharmacy, Press

Tagged as: