Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 18 Ogos 2018 -Situasi Terkini Rabies di Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 17 Ogos 2018 yang melaporkan mengenai seorang lelaki berumur 49 tahun dari Sri Aman, Sarawak yang telah disahkan rabies dalam kalangan manusia. Untuk makluman, pesakit tersebut telah meninggal dunia pada 18 Ogos 2018 jam 3:57 pagi di Hospital Umum Sarawak (HUS). Punca kematiannya adalah Encephalitis Rabies. KKM mengucapkan takziah kepada keluarga beliau.

Kematian baru kes rabies ini menjadikan jumlah kematian sebanyak 11 dari 12 kes yang telah disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak; semenjak ia diisytiharkan wabak pada 30 Jun 2017; dengan kadar kematian 91.7 peratus.

Sementara itu, terdapat seorang lagi pesakit disyaki rabies yang telah dimasukkan ke wad HUS pada 16 Ogos 2018. Pesakit merupakan seorang lelaki berumur 44 tahun dari Jalan Matang, Kuching, Sarawak. Berdasarkan maklumat yang diterima, beliau tidak mempunyai sejarah digigit anjing atau haiwan lain, Namun pernah memukul seekor anjing liar yang telah menggigit isterinya pada 13 Januari 2018. Ketika itu, pesakit mempunyai luka terbuka di tangan kanan beliau. Dilaporkan bahawa anjing tersebut kemudiannya telah mati.

Pesakit tidak mendapatkan sebarang rawatan walaupun telah membawa isteri beliau ke hospital untuk rawatan dan vaksinasi. Lelaki tersebut mula mengalami sakit di tangan kanannya pada awal Ogos 2018 dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar pada 6 Ogos 2018. Keadaannya bertambah teruk sejak 11 Ogos 2018 dan mengalami gejala kebas dan lemah tangan kanan, tidak boleh bergerak, ketegangan di leher dan hidrofobia. Beliau telah dibawa ke Unit Kecemasan HUS untuk mendapatkan rawatan pada 16 Ogos 2018. Ujian ke atas sampel klinikal dijalankan untuk mengesahkan punca dan penyakit yang dihidapi. Untuk makluman, buat masa ini isteri kepada pesakit berada dalam keadaan sihat.

19554799_10154506171336237_2198791464869426564_n

Orang awam diingatkan agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada jangkitan rabies.

  • Cuci bahagian tubuh yang digigit dengan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
  • Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit anjing atau haiwan yang agresif;
  • Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bergaul dengan haiwan liar;
  • Jika anjing atau kucing peliharaan didapati tidak sihat atau agresif, dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;
  • Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  • Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.

KKM akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain dalam memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan dengan berkesan. Orang awam diingatkan untuk sentiasa mematuhi nasihat yang diberikan oleh KKM dan lain-lain agensi Kerajaan demi memastikan jangkitan rabies dapat dikekang sepenuhnya.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

18 Ogos 2018

Categories: Communicable disease, Press

Tagged as: