Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 21 Ogos 2018 – Situasi Semasa Kejadian Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan situasi semasa kejadian Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD). Pada 18 Ogos 2018, sebanyak 380 kes penyakit HFMD dilaporkan di seluruh negara. Jumlah ini kurang sebanyak 81 kes (17.5%) berbanding dengan hari yang sama pada minggu sebelumnya (pada 11 Ogos 2018), iaitu 461 kes.

Jumlah kes mingguan untuk tempoh 12 Ogos hingga 18 Ogos 2018 juga menunjukkan penurunan sebanyak 1,304 kes (25.4%) berbanding dengan minggu sebelumnya (5 Ogos hingga 11 Ogos 2018); iaitu sebanyak 3,826 kes berbanding 5,130 kes. Kesemua negeri menunjukkan pengurangan kes kecuali Perak, meningkat sebanyak 92 kes (28.0%).

Kumulatif kes HFMD dari 1 Januari 2018 sehingga 18 Ogos 2018 adalah 53,156 kes. Tiada kes kematian HFMD yang baru dilaporkan. Kematian disebabkan HFMD dan jangkitan EV71 kekal dua (2) kes, iaitu masing-masing satu (1) di Sarawak dan satu (1) di Pulau Pinang.HFMD (1)

Ibu bapa dijangkakan akan membawa anak-anak bercuti sempena cuti sekolah dan cuti Hari Raya Aidil Adha. Justeru itu, ibu bapa diminta untuk memastikan kebersihan diri dan ahli keluarga khususnya anak-anak kecil sentiasa terjaga. Elakkan dari ke tempat-tempat awam yang sesak kecuali perlu. Sekiranya mempunyai gejala HFMD, elakkan keluar rumah atau bergaul dengan orang yang sihat.

KKM juga ingin memberi saranan kepada pengusaha-pengusaha indoor playground supaya memberi penekanan kepada empat (4) perkara utama, iaitu:

  1. Menyediakan hand sanitiser di pintu masuk indoor playground dan memastikan kanak-kanak menggunakannya sebelum masuk dan apabila keluar dari taman permainan ini;
  2. Membuat saringan gejala HFMD di pintu masuk indoor playground dan membenarkan kanak-kanak yang sihat sahaja masuk;
  3. Memastikan kebersihan indoor playground sentiasa dijaga; dan
  4. Menjalankan nyah kuman (disinfection) peralatan mainan setiap hari.

Kawasan permainan (indoor playground) yang tidak bersih boleh menjadi punca penularan penyakit berjangkit termasuk HFMD. Semoga dengan langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh semua pihak akan dapat membendung penularan jangkitan HFMD.

 

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

 

21 Ogos 2018

 

hfmdd