Press

Kenyataan Akhbar KPK 22 Ogos 2018 – Situasi Terkini Rabies di Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 18 Ogos 2018 yang telah memaklumkan mengenai seorang pesakit yang disyaki dijangkiti rabies telah dimasukkan ke wad Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 16 Ogos 2018. Hasil ujian sampel klinikal yang dijalankan adalah positif bagi jangkitan rabies. Dukacita dimaklumkan bahawa pesakit ini telah meninggal dunia pada 21 Ogos 2018 jam 10.15 pagi dengan punca kematian akibat Rabies Encephalitis. KKM mengucapkan takziah kepada keluarga beliau.

Kes kematian rabies ini adalah seorang lelaki berumur 44 tahun dari Jalan Matang, Kuching. Berdasarkan maklumat yang diterima, beliau tidak mempunyai sejarah digigit anjing atau haiwan lain namun pernah memukul seekor anjing liar yang telah menggigit isterinya pada 13 Januari 2018. Ketika itu, pesakit mempunyai luka terbuka di tangan kanan beliau. Dilaporkan bahawa anjing tersebut kemudiannya telah mati.

Pesakit tidak mendapatkan sebarang rawatan walaupun telah membawa isteri beliau ke hospital untuk rawatan dan vaksinasi. Beliau mula mengalami sakit di tangan kanannya pada awal Ogos 2018 dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar pada 6 Ogos 2018. Keadaannya bertambah teruk sejak 11 Ogos 2018 dan mengalami gejala kebas dan lemah tangan kanan, tidak boleh bergerak, ketegangan di leher dan hidrofobia. Beliau telah dibawa ke Unit Kecemasan HUS untuk mendapatkan rawatan pada 16 Ogos 2018. Ujian ke atas sampel klinikal yang dijalankan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) didapati positif bagi jangkitan virus rabies. Untuk makluman, buat masa ini isteri kepada pesakit berada dalam keadaan sihat dan telah melengkapkan jadual vaksinasi anti-rabies beliau sebanyak 4 dos.

rbies

Sejak rabies diisytiharkan wabak di Sarawak pada 30 Jun 2017 sehingga 21 Ogos 2018, jumlah kes dalam kalangan manusia adalah 13 kes termasuk 12 kematian rabies; dengan kadar kematian 92.3 peratus. Hanya terdapat seorang pesakit yang telah didiscaj dari hospital namun dengan komplikasi neurologi yang teruk dan kini dirawat di rumah.

KKM ingin mengingatkan orang awam betapa pentingnya mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada jangkitan rabies.

  • Cuci bahagian tubuh yang digigit dengan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur haiwan tersebut;
  • Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit anjing atau haiwan yang agresif;
  • Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bergaul dengan haiwan liar;
  • Jika anjing atau kucing peliharaan didapati tidak sihat atau agresif, dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;
  • Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  • Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.

KKM terus mempertingkatkan usaha bagi menangani wabak rabies di kalangan manusia daripada terus menular. Namun begitu, usaha ini memerlukan kerjasama padu dari semua pihak yang terlibat dalam memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

22 Ogos 2018

 

rabies JKN Sarawak.jpg

Categories: Press

Tagged as: