Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 28 Ogos 2018 -Situasi Semasa Kejadian Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Malaysia

Screen Shot 2018-08-28 at 9.27.47 AM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan pada 26 Ogos 2018, sebanyak 138 kes penyakit HFMD dilaporkan di seluruh negara berbanding dengan hari yang sama pada minggu sebelumnya (19 Ogos 2018), iaitu 271 kes. Jumlah ini berkurangan sebanyak 133 kes (49.1%).

Bagi jumlah kes mingguan untuk tempoh 19 Ogos hingga 25 Ogos 2018, sebanyak 2,235 kes dilaporkan dengan pengurangan sebanyak 1,591 kes (41.6%) berbanding dengan minggu sebelumnya (12 Ogos hingga 18 Ogos 2018); iaitu 3,826 kes. Kesemua negeri menunjukkan penurunan kes antara 13.3% hingga 65.5%.

Pada keseluruhannya, kes HFMD dari 1 Januari 2018 sehingga 25 Ogos 2018 adalah 55,391 kes. Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding dengan jumlah kes pada tahun 2017 iaitu 24,398. Peningkatan kes adalah sebanyak 127.0% atau 30,993 kes. Kesemua negeri menunjukkan pertambahan kes.

Tiada kes kematian HFMD yang baru. Kematian disebabkan HFMD dan jangkitan EV71 kekal dua (2) kes, iaitu masing-masing satu (1) di Sarawak dan satu (1) di Pulau Pinang.

Screen Shot 2018-08-28 at 9.27.34 AM

Memandangkan cuti persekolahan dan cuti Hari Raya Aidil Adha telahpun berakhir, mulai minggu ini kebanyakan ibu bapa telah mula bekerja dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Justeru itu ibu bapa diminta untuk memastikan semua ahli keluarga khususnya kanak-kanak kecil sentiasa dalam keadaan sihat dan mengamalkan kebersihan diri yang betul. Sekiranya anak didapati tidak sihat dan mempunyai gejala HFMD, bawalah segera ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan. Elakkan menghantar anak yang tidak sihat ke sekolah atau membawa ke tempat-tempat awam yang sesak.

HFMD (1)

KKM ingin menggesa pengusaha dan penjaga kanak-kanak di taska, tadika, tabika atau pra-sekolah agar terus melaksanakan lima (5) amalan amat penting seperti di bawah bagi mengawal dan mencegah jangkitan HFMD iaitu:

  1. Penjagaan kebersihan diri;
  2. Amalan cuci tangan yang betul;
  3. Penjagaan kebersihan persekitaran;
  4. Pemeriksaan/saringan di pintu masuk (gatekeeping screening) taska / tadika / tabika / pra-sekolah dan sekolah; dan
  5. Disinfeksi atau nyahkuman permukaan-permukaan yang tercemar

HFMD 2

KKM juga ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa :

  1. Memastikan kebersihan premis dan peralatan serta perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak dijaga;
  2. Mengamalkan kebersihan diri termasuk cuci tangan selepas menguruskan kanak-kanak sebelum mengendalikan yang lain;
  3. Memastikan lampin pakai-buang dibuang dalam tong sampah bertutup; dan
  4. Melaporkan wabak HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

Adalah diharapkan dengan langkah pencegahan yang diambil oleh semua pihak dapat menyekat penularan HFMD ini daripada terus merebak.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

28 Ogos 2018

Categories: Communicable disease, Press

Tagged as: