Press

Kenyataan Akhbar KPK 31 Ogos 2018 – Isu Penjualan Ubat-Ubatan Tidak Berdaftar Oleh Warga Asing

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius berkenaan artikel yang disiarkan oleh akhbar Harian Metro bertarikh 23 Ogos 2018 yang bertajuk “Doktor Bangla” Mini Dhaka.  Artikel tersebut telah melaporkan berkenaan penjualan ubat-ubatan yang tidak berdaftar di kawasan ibu kota Kuala Lumpur yang didalangi oleh warga Bangladesh.

Hasil siasatan awal mendapati sebanyak sepuluh (10) premis yang disyaki digunakan untuk menjual ubat-ubat tidak berdaftar kepada warga asing di sekitar Jalan Tun Tan Siew Sin (Jalan Silang) di ibu kota Kuala Lumpur. Kawasan ini merupakan kawasan tumpuan membeli-belah warga asing terutamanya warga Bangladesh dan kebanyakan pembeli ubat-ubat tidak berdaftar ini adalah di kalangan warga Bangladesh.

TINDAKAN PENGUATKUASAAN

Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap premis-premis perniagaan berkenaan dan hasil tindakan yang dijalankan sebanyak 280 jenis ubat-ubat tidak berdaftar bernilai lebih RM 200 ribu telah dirampas untuk siasatan lanjut. Ubat-ubat yang tidak berdaftar yang dirampas juga disyaki mengandungi racun berjadual seperti ubat antibiotik (Cefuroxime, Metronidazole), ubat penahan sakit (injeksi Tramadol, injeksi Ketoprofen) dan ubat penenang (injeksi Diazepam). Premis perniagaan ini juga pernah telah diambil tindakan penguatkuasaan pada tahun 2016 dan 2017.

Di bawah Pelan Strategik Program Farmasi 2017- 2020, kawasan ini juga merupakan di antara lapan puluh (80) kawasan Hotspot yang telah dikenalpasti sebagai kawasan tegar penjualan produk tidak berdaftar di seluruh negara. Pelan tindakan ini mensasarkan kawasan Hotspot yang dikenalpasti di seluruh Malaysia bebas dari penjualan produk tidak berdaftar menjelang tahun 2020. Susulan daripada tindakan penguatkuasaan yang dijalankan, premis yang tegar menjual produk tidak berdaftar di kawasan Hotspot seluruh negara telah menurun sebanyak 63.3% pada tahun 2017.

Selain itu, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi turut giat menjalankan pemantauan secara berterusan dengan kerjasama pihak Kastam DiRaja Malaysia melalui aktiviti pemeriksaan / penyaringan semua produk kesihatan di semua pintu masuk bagi mengawal kemasukan produk kesihatan yang tidak berdaftar dengan KKM ke dalam pasaran Malaysia.

Penjualan ubat – ubatan yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. Pengambilan ubat yang mengandungi racun berjadual sebagai ubat terkawal oleh orang awam juga mestilah melalui diagnosis seorang pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan rawatan atau dibekalkan oleh seorang ahli farmasi berlesen dengan preskripsi yang sah.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

NASIHAT KEPADA ORANG AWAM

Pihak kementerian menasihatkan orang ramai supaya memastikan produk-produk yang dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang berkuatkuasa. Pengguna seharusnya bersikap bijak dalam memilih produk-produk kesihatan di pasaran. Semua produk ubat-ubatan di Malaysia perlu berdaftar dengan KKM terlebih dahulu sebelum dipasarkan termasuklah produk yang dibuat di luar negara. Produk berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL dan label Hologram Meditag pada pembungkusannya. Pengguna boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dengan melayari www.npra.moh.gov.my / ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.

Orang ramai digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam. Aduan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my. ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk tidak berdaftar di pasaran.

 

Sekian, terima kasih

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

31 Ogos 2018

Categories: Press

Tagged as: