Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 31 Ogos 2018 – Kejadian Wabak Mumps (Beguk) di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh, Perak

Pada 29 Ogos 2018, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta telah menerima laporan mengenai kejadian wabak mumps (beguk) di kalangan pelajar Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah, Ipoh, Perak. Kejadian tersebut melibatkan 21 pelajar lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun daripada sejumlah 660 orang pelajar dan kakitangan sekolah yang terdedah (3.2%). Semua kes adalah stabil dan telah diberi rawatan pesakit luar.

Penyakit mumps disebabkan oleh jangkitan virus Paramyxovirus. Pesakit akan mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan sakit serta bengkak kelenjar air liur. Ia boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan air liur serta melalui sentuhan objek yang tercemar. Jangkitan mumps biasanya adalah ringan dan boleh sembuh sepenuhnya tanpa komplikasi selepas dua hingga tiga minggu. Komplikasi jangkitan pada kelenjar testis, telinga, otak, kelenjar ovari dan buah dada adalah sangat jarang berlaku.

Adalah mustahak untuk ibubapa memastikan anak-anak mereka mendapatkan imunisasi untuk penyakit mumps bagi mengelakkan komplikasi jangkitan. Di Malaysia, imunisasi mumps diberikan dalam bentuk vaksin tiga (3) serangkai Measles-Mumps-Rubella (MMR) sejak tahun 2002. Berdasarkan jadual imunisasi kebangsaan yang terkini mulai April 2016, vaksin ini diberikan sebanyak dua kali iaitu Dos 1 pada usia sembilan (9) bulan dan Dos 2 pada usia satu (1) tahun.

Screen Shot 2018-08-31 at 09.44.08.png

cough etiquette

Masyarakat juga perlu sentiasa memastikan kebersihan diri dan persekitaran serta mengamalkan etika batuk yang betul bagi mengelakkan penularan penyakit ini. Sekiranya mengalami gejala dan tanda-tanda, sila dapatkan rawatan awal di mana-mana fasiliti kesihatan bagi mengelakkan sebarang komplikasi. Pesakit mumps juga perlu diasingkan dan tidak berkunjung ke tempat awam untuk mengelakkan perebakan jangkitan kepada orang lain.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

31 Ogos 2018

Categories: Communicable disease, Press

Tagged as: ,