Press

Kenyataan Akhbar KPK 4 September 2018 – Pembatalan Pendaftaran Produk Tradisional Tie Da Zhi Tong Gao yang Dikesan Mengandungi Racun Berjadual Diphenhydramine

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk tradisional berikut:

Screen Shot 2018-09-04 at 15.57.45.png

IMG_20180214_102411

IMG_20180214_102526

Hasil pemantauan di pasaran mendapati produk tersebut telah dikesan mengandungi racun berjadual, Diphenhydramine di dalam formulasi produk tradisional. Sehubungan itu, pendaftaran produk ini telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuaratnya yang ke-326 bertarikh 28 Ogos 2018 berikutan pengesanan racun berjadual tersebut di dalam produk berkenaan yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

Produk Tie Da Zhi Tong Gao didaftarkan sebagai produk tradisional untuk kesakitan akibat lebam dan terseliuh serta sakit otot dan sakit sendi. Diphenhydramine merupakan sejenis antihistamin untuk melegakan reaksi alahan yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan hanya boleh diperolehi daripada doktor atau ahli farmasi. Kesan sampingan Diphenhydramine yang digunakan secara topical (digunapakai ke atas permukaan badan) termasuk ruam, gatal-gatal serta peningkatan kepekaan terhadap cahaya.

PERINGATAN 

Penjual dan pengedar produk ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk tersebut dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Orang awam yang sedang menggunakan produk Tie Da Zhi Tong Gao adalah dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan yang tidak diingini (adverse effect). Selain itu, pengguna dan orang awam adalah dinasihatkan untuk menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan melayari laman sesawang http://npra.moh.gov.my/.

Dalam usaha KKM melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam melalui pemantauan secara berterusan, orang ramai turut digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan sebarang maklumat melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

4 September 2018

Categories: Press

Tagged as: