Press

Kenyataan Akhbar KPK 8 September 2018 – Perkembangan Terkini Isu Penjualan Udang Galah Murah yang Didakwa Memudaratkan Kesihatan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 14 Ogos 2018 mengenai isu yang tular di media sosial dan laporan pihak media massa pada 13 Ogos 2018 berkaitan isu lambakan udang galah murah di Malaysia yang didakwa telah menyebabkan gatal-gatal, badan bengkak, bengkak hidung, mata berair serta cirit-birit dan muntah.

Udang galah viral

Sebagai pemakluman perkembangan terkini, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan ke atas produk tersebut di pasaran tempatan. Hasil analisis ke atas 56 sampel produk tersebut didapati kesemua sampel berkenaan mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan ianya selamat dimakan.

KKM akan terus menjalankan pemantauan ke atas produk tersebut dan produk makanan lain di pasaran serta di pintu masuk bagi memastikan ianya mematuhi perundangan makanan.

Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan satu kesalahan dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

8 September 2018

Categories: Press

Tagged as: