Press

Kenyataan Akhbar KPK 20 September 2018 – Isu Jarum dalam Buah Strawberi Segar Keluaran Negara Australia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan berita bertajuk “Jarum dalam strawberi, Australia tingkatkan siasatan” yang disiarkan melalui Astro Awani pada 17 September 2018. Berita tersebut melaporkan Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Australia telah mengarahkan penarikan balik produk strawberi jenama Berry Obsession, Berry Licious, Love Berry, Donnybrook Berries, Delightful Strawberries dan Oasis yang mengandungi jarum akibat sabotaj.

Sebagai langkah berjaga-jaga, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah mengenakan pemeriksaan ke atas semua strawberi segar yang diimport daripada Australia di semua pintu masuk negara. Di samping itu, Pihak Berkuasa Australia memberi jaminan bahawa berkuatkuasa 19 September 2018, produk tersebut yang akan dieksport dari Australia bebas dari pencemaran logam melalui pengeluaran Perakuan Permit (Request for Permit – RFPs) kepada pengeksport. Dalam hal ini, KKM bekerjasama rapat dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Australia di Malaysia berkaitan isu ini.

Semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan makanan.

Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Sehubungan itu, pengguna tidak perlu khuatir kerana Kementerian Kesihatan sentiasa menjalankan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas isu-isu yang berhubung dengan keselamatan makanan bagi memastikan kesihatan orang ramai sentiasa terjamin. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

20 SEPTEMBER 2018

Categories: Press

Tagged as: