Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini berkaitan kejadian disyaki keracunan metanol di Malaysia. Bermula dari 15 September sehingga 20 September 2018 jam 12.00 tengahari, KKM telah menerima sejumlah 69 notifikasi kes keracunan metanol daripada fasiliti-fasiliti kesihatan KKM. Daripada jumlah tersebut, sebanyak sebanyak empat belas (14) kes adalah kes baru dilaporkan iaitu tujuh (7) dari negeri Selangor, dua (2) dari Kuala Lumpur dan lima (5) dari negeri Perak. Dengan ini menjadikan jumlah keseluruhan dari negeri Selangor sebanyak 55 kes, sembilan (9) kes dari Kuala Lumpur dan lima (5) kes dari negeri Perak.
Jumlah kematian adalah sebanyak dua puluh satu (21) kes iaitu enam belas (16) kes dari negeri Selangor, tiga (3) kes dari Kuala Lumpur dan dua (2) kes dari negeri Perak. Daripada 21 kes yang meninggal dunia tersebut satu (1) kes dilaporkan dari hospital swasta di Perak.
Bilangan kes dan kematian mengikut kewarganegaraan adalah seperti berikut:
KKM telah menerima keputusan positif ujian darah klinikal metanol ke atas lapan kes dari negeri Selangor dan Kuala Lumpur. Namun begitu, keputusan ujian sampel yang diambil bagi kes yang disyaki di negeri Perak belum diperolehi.
KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan sedang meneruskan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara. Minuman yang disyaki adalah berjenama Grand Royal Whisky, Mandalay Whisky, Joker Whisky dan bir berjenama Kingfisher dan Volcano.
Sehingga 20 September 2018 sebanyak 68 buah premis yang menjual arak telah diperiksa di mana 647 botol minuman beralkohol pelbagai jenama termasuk jenama terbabit yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985 telah disita.
Di bawah Seksyen 13 Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
KKM menasihati masyarakat untuk tidak meminum sebarang minuman beralkohol yang dikhuatiri tercemar dengan metanol. Pemantauan kes akan diteruskan dan segala perkembangan terkini akan dimaklumkan dari masa ke semasa.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
20 September 2018
Categories: Food Safety, Non-communicable disease
You must be logged in to post a comment.