Non-communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 21 September 2018 – Perkembangan Terkini Kejadian Keracunan Metanol di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini berkaitan kejadian keracunan metanol di Malaysia. Untuk makluman bermula dari 15 September sehingga 21 September 2018 jam 12.00 tengahari, KKM telah menerima sejumlah 76 notifikasi kes keracunan metanol daripada fasiliti-fasiliti kesihatan KKM. Daripada jumlah tersebutsebanyak tujuh (7) kes adalah kes baru dilaporkan iaitu enam (6) dari Kuala Lumpur dan satu (1) di negeri Perak.  Dengan peningkatan kes ini menjadikan jumlah kes keracunan metanol di Kuala Lumpur adalah sebanyak 15 kes, negeri Selangor kekal sebanyak 55 kes, dan Perak sebanyak enam (6) kes.

Terdapat pelaporan sebanyak lapan (8) kematian keracunan metanol, di mana enam (6) kematian dari jumlah tersebut adalah dari Kuala Lumpur dan dua (2) dari negeri Selangor. Dengan ini, jumlah keseluruhan kematian akibat keracunan metanol adalah sebanyak 29 kes. Daripada jumlah ini, negeri Selangor mencatatkan jumlah kematian sebanyak 18 kematian, Kuala Lumpur sebanyak sembilan (9) kematian dan Perak sebanyak dua (2) kematian.

Daripada kes-kes yang menerima rawatan di hospital, sebanyak 14 pesakit telah didapati stabil dan didiscaj dari hospital. Sebanyak 33 pesakit masih lagi menerima rawatan di lapan buah hospital di negeri Selangor dan Hospital Kuala Lumpur, di mana 19 pesakit adalah kritikal manakala 14 pesakit menerima rawatan di wad.

Berikut adalah taburan kes keracunan metanol mengikut kewarganegaraan:

1a

KKM melalui Bahagian Kesihatan Awam dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sedang meneruskan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara. Minuman beralkohol yang disyaki adalah berjenama Grand Royal Whisky, Mandalay Whisky, Joker Whisky dan bir berjenama King Fisher dan Volcano.

Sehingga 21 September 2018, sebanyak 262 buah premis yang menjual arak telah diperiksa di mana 780botol minuman beralkohol pelbagai jenama termasuk jenama terbabit yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah disita.

Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

WhatsApp Image 2018-09-20 at 12.49.25 PM

KKM juga bekerjasama dengan pihak Kedutaan, Kementerian dan agensi kerajaan berkaitan seperti Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kastam Malaysia, Kementerian Luar Negara, United Nations High Commissioner for Refugee (UNHCR), pihak Kedutaan negara terlibat dan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk terus memantau untuk memastikan kejadian keracunan metanol ini terkawal.

Bagi mereka yang mempunyai gejala keracunan metanol seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan dalam tempoh lima (5) hari pengambilan minuman beralkohol, hendaklah segera mendapatkan rawatan di mana-mana klinik atau hospital. KKM akan terus memantau situasi dan mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan bagi menangani kejadian ini.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

21 September 2018