Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini berkaitan kejadian keracunan metanol di Malaysia. Untuk makluman, bermula dari 15 September sehingga 22 September 2018 jam 12.00 tengahari, KKM telah menerima sejumlah 86 notifikasi kes keracunan metanol daripada fasiliti-fasiliti kesihatan KKM. Pada hari ini, satu lagi negeri telah melaporkan kejadian keracunan metanol iaitu dari Negeri Sembilan menjadikan empat (4) buah negeri telah melaporkan kes-kes keracunan metanol. Sejumlah sepuluh (10) kes baru dilaporkan iaitu tujuh (7) dari negeri Selangor, dan masing-masing satu (1) kes dari Kuala Lumpur, negeri Perak dan juga dari Negeri Sembilan. Secara keseluruhan, dengan pertambahan kes-kes baru keracunan metanol ini menjadikan jumlah kes keracunan metanol di negeri Selangor adalah sebanyak 62 kes, Kuala Lumpur sebanyak 16 kes, negeri Perak sebanyak tujuh (7) kes dan Negeri Sembilan sebanyak satu (1) kes.
Tiada penambahan kematian keracunan metanol yang dilaporkan dan dengan ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat keracunan metanol adalah kekal sebanyak 29 kes iaitu 18 kes di negeri Selangor, sembilan (9) kes di Kuala Lumpur dan sebanyak dua (2) kes di negeri Perak.
Daripada kes-kes yang menerima rawatan di hospital, secara keseluruhannya sebanyak 16 pesakit telah didapati stabil dan didiscaj dari hospital. Sebanyak 41 kes masih lagi menerima rawatan di sebelas (11) buah hospital di negeri Selangor, Kuala Lumpur, Perak dan Negeri Sembilan. Daripada 41 pesakit yang masih dirawat ini, 16 pesakit adalah kes kritikal manakala 25 pesakit masih menerima rawatan di wad.
Berikut adalah taburan kes keracunan metanol mengikut kewarganegaraan:
KKM melalui Bahagian Kesihatan Awam dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) sedang mengambil sampel produk terbabit untuk analisis. Minuman beralkohol yang disyaki adalah berjenama Grand Royal Whisky, Mandalay Whisky, Joker Whisky dan bir berjenama King Fisher dan Volcano. Sehingga kini, hasil analisis yang telah dijalankan di Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh mengesahkan minuman beralkohol jenama Grand Royal Whisky dan Mandalay Whisky mengandungi metanol masing-masing 169,300 ppm (part per million) atau 16.93% dan 173,600 ppm (17.36%) yang didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pengambilan atau pendedahan kepada metanol yang berlebihan boleh menyebabkan kerosakan kekal kepada sistem saraf dan penglihatan manusia. Pendedahan kepada metanol pada tahap 300 hingga 1,000 ppm (0.03 hingga 0.1%) boleh menyebabkan koma dan kematian.
Di samping itu, produk berkenaan tidak mematuhi keperluan pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 seperti tiada nama dan alamat pengilang, pengimport atau ejen. KKM sedang mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas produk minuman beralkohol terbabit dan produk minuman beralkohol jenama lain yang tidak mematuhi perundangan makanan. Sehingga 22 September 2018, sebanyak 402 buah premis yang menjual arak telah diperiksa di mana 1,471 botol minuman beralkohol pelbagai jenama termasuk jenama terbabit yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah disita.
Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
KKM akan terus bekerjasama dengan pihak Kedutaan, Kementerian dan agensi kerajaan berkaitan seperti Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Kastam Malaysia, Kementerian Luar Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, United Nation High Commisioner (UNHCR) dan agensi-agensi kerajaan yang lain untuk terus memantau dan memastikan kejadian keracunan metanol ini terkawal.
Bagi mereka yang mempunyai gejala keracunan metanol seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan dalam tempoh lima (5) hari pengambilan minuman beralkohol, hendaklah segera mendapatkan rawatan di mana-mana klinik atau hospital.
KKM akan terus memantau situasi dan mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan bagi menangani kejadian ini.
Sekian, terima kasih.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
22 September 2018
Categories: Uncategorized
You must be logged in to post a comment.