Crisis & Disaster

Kenyataan Akhbar KPK 23 September 2018 – Perkembangan Terkini Kejadian Keracunan Metanol di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini berkaitan kejadian keracunan metanol di Malaysia. Untuk makluman bermula dari 15 September sehingga 23 September 2018 jam 12.00 tengahari, KKM telah menerima sejumlah 87 notifikasi kes keracunan metanol daripada fasiliti-fasiliti kesihatan KKM. Pada hari ini pihak KKM hanya menerima satu (1) kes baru yang diterima dari negeri Perak. Dengan pertambahan ini menjadikan  jumlah  kes keracunan metanol di negeri Perak sebanyak lapan (8) kes, negeri Selangor adalah sebanyak 62 kes, Kuala Lumpur sebanyak 16 kes dan Negeri Sembilan sebanyak satu (1) kes.

Terdapat empat (4) penambahan kematian keracunan metanol yang dilaporkan dan dengan ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat keracunan metanol adalah sebanyak 33 kematian. Dua (2) kematian dilaporkan dari negeri Selangor dan satu (1) kematian masing-masing dilaporkan dari negeri Perak dan Kuala Lumpur. Dengan pertambahan kematian ini, menjadikan jumlah kematian di negeri Selangor sebanyak 20 kes, dari Kuala Lumpur sebanyak sepuluh (10) kematian dan dari negeri Perak sebanyak tiga (3) kematian.

Daripada pesakit-pesakit yang menerima rawatan di hospital, secara keseluruhannya terdapat satu (1) pesakit yang telah didapati stabil dan didiscaj dari hospital. Sebanyak 37 pesakit masih lagi menerima rawatan di sebelas (11) buah hospital di sekitar negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. Daripada 37 pesakit yang masih menerima rawatan di hospital, 13 pesakit adalah kes kritikal manakala 24 pesakit sedang dirawat di wad.

Berikut adalah taburan kes keracunan metanol mengikut kewarganegaraan:

23.9

KKM juga telah menerima keputusan ujian metanol bagi sampel klinikal daripada Makmal Perubatan Forensik, Hospital Sungai Buloh. Daripada sejumlah 69 sampel klinikal yang telah dianalisa, 39 sampel telah dikesan terdapat kehadiran metanol.

Sehingga 23 September 2018, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Bahagian Kesihatan Awam dan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan pemeriksaan ke atas 586 buah premis yang menjual arak di mana 1,816 botol minuman beralkohol pelbagai jenama termasuk jenama terbabit yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah disita.

Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi mereka yang mempunyai gejala keracunan metanol seperti sakit perut, loya, muntah, sakit kepala, kabur penglihatan dalam tempoh lima (5) hari pengambilan minuman beralkohol, hendaklah segera mendapatkan rawatan di mana-mana klinik atau hospital.

KKM akan terus memantau situasi dan mengambil langkah-langkah pencegahan dan kawalan bagi menangani kejadian ini.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

23 September 2018

WhatsApp Image 2018-09-20 at 12.49.25 PM