Press

Kenyataan Akhbar KPK 25 September 2018 – Penjualan Produk Yang Mempunyai Tuntutan Perubatan

Sejak peningkatan penyakit berjangkit dan juga tidak berjangkit yang berlaku di negara kita, terdapat beberapa syarikat mengambil kesempatan menjual produk dengan tuntutan perubatan yang meragukan. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius perkara ini kerana ia boleh mengelirukan orang awam. Seterusnya ia akan memberi persepsi salah yang akan mengakibatkan orang awam mengabaikan prinsip asas pencegahan penyakit berjangkit iaitu kebersihan diri dan persekitaran, serta juga tindakan pencegahan penyakit tidak berjangkit dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Produk-produk seperti ini tidak mempunyai bukti yang kukuh bagi menyokong bahawa ia berkesan dalam mencegah jangkitan. Sebarang produk yang mempunyai bukti tuntutan perubatan untuk merawat dan mencegah penyakit perlu dinilai dan seterusnya didaftarkan dengan pihak berkuasa KKM. Sehubungan itu, pihak syarikat yang melabelkan produk mereka dengan dakwaan boleh merawat dan mencegah penyakit (misalnya anti-penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), anti-kanser, dan sebagainya) dinasihatkan untuk memberhentikan amalan yang tidak beretika ini dengan serta merta; dan menggunakan tuntutan umum yang bersesuaian di label produk.

KKM ingin menggesa orang awam agar tidak mudah percaya dengan tuntutan perubatan yang dibuat pada sebarang produk yang meragukan. Dalam usaha KKM melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam melalui pemantauan berterusan produk-produk seumpamanya di pasaran, orang ramai juga diminta untuk membantu dengan mengemukakan aduan dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitannya melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my. Sesungguhnya kesihatan semua rakyat Malaysia adalah tanggungjawab kita bersama.

 

Sekian, terima kasih.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

25 September 2018

Jus Alsunnah Infografik v5-01DEsO1YpVwAAkEN9waspada-fullnetizen-full

Categories: Press