Pharmacy

Kenyataan Akhbar KPK 28 September 2018 – Aktiviti Pemeriksaan Khas Bagasi Penumpang di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA dan KLIA2)

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) telah mengadakan aktiviti pemeriksaan khas bagasi penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA dan KLIA2) bermula pada jam 12:00 tengah malam 24 September 2018 dan berakhir jam 8:00 pagi pada 25 September 2018.

Aktiviti pemeriksaan khas ini diketuai oleh Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM bersama-sama dengan 28 orang Pegawai Penguatkuasaan Farmasi dari BPF dan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Selangor dengan kerjasama pegawai-pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang bertugas di KLIA dan KLIA2.

Aktiviti ini diadakan bertujuan untuk memastikan kemasukan/pengimportan ubat-ubatan dan kosmetik adalah mengikut keperluan peruntukan undang-undang di bawah Akta Racun 1952 dan Peraturannya, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah & Kosmetik 1984.

Hasil daripada pemeriksaan khas ini, sejumlah 284 jenis ubat-ubatan yang tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi dengan KKM telah dirampas. Ubat-ubatan ini kebanyakannya dibawa oleh penumpang warganegara asing yang bekerja di Malaysia dalam kuantiti yang melebihi sebulan untuk penggunaan oleh setiap orang. Kesemua produk yang dirampas akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952. Jika sabit kesalahan, individu terbabit akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama. Manakala, untuk kesalahan berikutnya akan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebagai peringatan kepada orang awam, ubat-ubatan yang diimport ke Malaysia perlu berdaftar dengan KKM dan diimport oleh pengimport yang mempunyai lesen. Pengimportan ubat yang tidak berdaftar untuk kegunaan individu hanya dibenarkan bagi kegunaan sebulan oleh seorang sahaja di bawah Akta dan Peraturan yang dikuatkuasakan.

Orang awam juga dinasihatkan agar tidak menggunakan produk-produk yang tidak berdaftar atau kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan KKM. Selain itu, orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk atau notifikasi kosmetik melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my atau dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400.

Selain itu, orang ramai juga digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam. Aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my. Aduan juga boleh disalurkan kepada mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi di setiap negeri agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk sebegini di pasaran.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

28 September 2018

Categories: Pharmacy

Tagged as: