Drug Safety

Kenyataan Akhbar KPK 4 Oktober 2018 – Operasi Khas Produk Vaksin dan Misoprostol Tidak Berdaftar Dari Luar Negara

  1. Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerima aduan berkenaan penjualan produk vaksin tidak berdaftar dari negara India di pasaran. Hasil siasatan awal mendapati produk vaksin tersebut dijual secara terus oleh warga tempatan kepada klinik – klinik perubatan swasta di sekitar kawasan Lembah Klang.

 

TINDAKAN PENGUATKUASAAN

  1. Hasil risikan yang dijalankan, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak disyaki dalam pengedaran dan penjualan produk vaksin tidak berdaftar. Hasil operasi serbuan yang yang dijalankan terhadap 2 orang suspek di sekitar Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur telah berjaya menjumpai lebih 350 vial produk vaksin tidak berdaftar bernilai lebih RM 28 ribu. Pemeriksaan juga telah menjumpai sebanyak lebih 1,400 biji tablet Misoprostol bernilai lebih RM 63 Ribu yang disyaki dijual di pasaran gelap untuk tujuan pengguguran haram. Kesemua produk yang dirampas merupakan produk keluaran dari negara India. Maklumat produk yang dirampas adalah seperti berikut :
Bil. Nama Negara pengeluar
1. Bio Typh Typhoid Polysaccharide Vaccine India
2. Tetanus Vaccine India
3. Cytolog Misoprostol Tablet India

vv3

  1. Penjualan produk- produk yang tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan satu kesalahan di bawah Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952. Produk vaksin dan ubat-ubatan yang mengandungi racun berjadual hanya boleh dibekalkan untuk tujuan rawatan pesakit oleh pengamal perubatan berdaftar atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi yang sah.
  2. Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM 25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

 

NASIHAT KEPADA ORANG AWAM

  1. Pihak kementerian menasihatkan orang ramai supaya memastikan produk-produk kesihatan yang dibeli di pasaran mematuhi keperluan undang-undang yang berkuatkuasa. Produk berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL dan label Hologram Meditag pada pembungkusannya. Pengguna boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dengan melayari http://www.npra.moh.gov.my / ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.
  2. Orang ramai digalakkan untuk mengemukakan aduan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak dibenarkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam. Aduan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my. ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran. Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my / ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

4 Oktober 2018

Categories: Drug Safety, Press

Tagged as: