Food Safety

Kenyataan Akhbar KPK 11 Oktober 2018 – Status Terkini Kejadian Keracunan Makanan di Kedah, Perak dan Selangor Pada 11 Oktober 2018

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kejadian keracunan makanan (KRM) yang disyaki berpunca dari memakan laksa yang dibeli dari premis di Kupang, Baling Kedah seperti yang dilaporkan dalam kenyataan akhbar sebelum ini.  Berbanding laporan sebelum ini pada 9 Oktober 2018, terdapat 19 kes baharu [satu (1) di Kedah, 15 di Perak dan tiga (3) di Selangor]. Ini menjadikan jumlah keseluruhan 80 kes termasuk dua (2) kematian; dengan pecahan 31 kes di Perak [termasuk dua (2) kes kematian], 25 kes di Kedah dan 24 kes di Selangor. Daripada jumlah tersebut, hanya sembilan (9) kes masih berada di hospital dan semuanya dalam keadaan stabil.

Setakat ini, sebanyak 10 sampel makanan telah dihantar ke makmal untuk ujian termasuk empat (4) sampel mi laksa, empat (4) sampel kuah laksa dan dua (2) sampel bahan campuran salad untuk laksa. Pihak KKM masih menunggu keputusan sepenuhnya ujian-ujian tersebut. Punca sebenar bagi kejadian keracunan makanan ini masih lagi dalam siasatan.

KKM sekali lagi ingin menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala keracunan makanan. Tatacara keselamatan makanan perlu dititik beratkan oleh semua pengendali makanan dan orang awam. Makanan mesti dimakan tidak lebih dari empat (4) jam selepas penyediaannya. Sekiranya ia perlu disimpan, hendaklah di dalam suhu yang sesuai dan dipanaskan dengan suhu yang mencukupi bagi mengelakkan keracunan makanan.

43557451_10217386731569590_7231812739834839040_n

Orang ramai juga perlu sentiasa mengamalkan keselamatan makanan dengan memilih premis makanan yang bersih untuk membeli makanan, serta mengamalkan konsep ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi. Orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan membasuh tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

 

11 Oktober 2018

 

 43527223_10217386730969575_9026024229543346176_n43701042_10217386731289583_7136883057671274496_n

 

 

Categories: Food Safety, Press

Tagged as: