Press

Kenyataan Akhbar KPK 27 Oktober 2018 – RM2.8 Juta Ubat-Ubatan Dirampas Sepanjang OPERASI PANGEA XI 2018 di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi bersama-sama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Cybersecurity Malaysia (CSM) telah menyertai operasi antarabangsa, OPERASI PANGEA XI bermula 9 hingga 16 Oktober 2018.

Tahun ini merupakan penyertaan Malaysia yang ke-6 dalam operasi ini yang diselaraskan oleh INTERPOL bersama-sama dengan 116 buah negara-negara lain dalam usaha membanteras penjualan ubat-ubatan serta peranti perubatan yang berbahaya kepada pengguna secara dalam talian.

Operasi Pangea XI  kali ini mensasarkan 3 aspek utama iaitu pembekal perkhidmatan internet (ISP), sistem pembayaran elektronik dan perkhidmatan penghantaran ubat-ubatan (kurier dan pos).

Sepanjang tempoh operasi tersebut, tindakan penguatkuasaan seperti pemeriksaan di semua pintu masuk utama dan serbuan ke atas premis yang menjual produk kesihatan secara dalam talian telah dilaksanakan.

Hasilnya, sebanyak 251,782 jenis produk kesihatan yang melanggar undang-undang yang dianggarkan bernilai RM2.8 juta telah dirampas. Antara ubat-ubatan yang dirampas ialah pil gugur, suntikan vitamin C, antibiotik, steroid serta produk kesihatan disyaki mengandungi racun.

Screen Shot 2018-10-27 at 11.39.02

Selain itu, seramai 339 peniaga yang mengiklankan produk kesihatan dan melanggar undang-undang telah diambil tindakan di mana sebanyak 403 laman sesawang dan 723 akaun di laman sosial telah disekat atau ditutup.

Sebanyak 144 kempen kesedaran pengguna turut diadakan sepanjang tempoh operasi ini bagi meningkatkan kesedaran pengguna tentang risiko dan bahaya pembelian ubat-ubatan secara dalam talian. Ini termasuklah edaran “Garis Panduan kepada Selebriti dalam Pengiklanan Produk Kesihatan” dengan kerjasama akhbar Berita Harian sebagai panduan kepada selebriti semasa mengiklankan produk kesihatan.

pastikan semak sebelum klik

Pengguna adalah dinasihatkan untuk merujuk kepada professional penjagaan kesihatan sebelum menggunakan ubat-ubatan. Selain itu, pengguna juga dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan iklan atau testimonial di laman sesawang dengan tuntutan perubatan yang tidak munasabah.

Sebarang pertanyaan atau aduan berhubung penjualan ubat-ubatan, sila hubungi Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-78413200 atau menerusi laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my

 

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

27 Oktober 2018

Categories: Press

Tagged as: