Food Safety

Kenyataan Akhbar KPK 26 November 2018 – Isu Sayur Romaine Lettuce dari Negara Amerika Syarikat Yang Dicemari Bakteria Escherichia Coli

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan artikel bertajuk “Romaine Lettuce Is Not Safe To Eat, CDC Warns U.S. consumers” yang disiarkan melalui laman sesawang https://www.washingtonpost.com/ pada 20 November 2018. Artikel tersebut menyatakan bahawa pihak Centers For Disease Control (CDC) and Prevention di Amerika Syarikat melaporkan seramai 32 orang dari 11 daerah di Amerika Syarikat telah jatuh sakit akibat memakan sayurRomaine lettuce yang telah dicemari oleh bakteria patogenik Escherichia coli.

COEJ2YNYL43QLJKEEQPKQVYMHU

Escherichia colimerupakan sejenis mikroorganisma patogenik yang boleh menyebabkan cirit birit, demam dan kesakitan abdomen. Dalam kes-kes yang tertentu boleh menyebabkan kematian khususnya kepada golongan yang berisiko tinggi seperti bayi, orang tua atau orang yang mempunyai sistem imuniti yang rendah.

Berdasarkan maklumat daripada Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (Food Safety Information System of Malaysia – FoSIM), Malaysia ada mengimport sayur Romaine lettuce dari negara Amerika Syarikat. Sehubungan dengan itu, berkuatkuasa mulai 23 November 2018, KKM telah mengenakan tindakan penguatkuasaan “Tahan, Uji dan Lepas” (TUL) terhadap sayur Romaine lettuce yang diimport.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah mengenalpasti pengimport yang mengimport sayur Romaine lettuce dari negara Amerika Syarikat. Dalam hal ini, syarikat terlibat dimaklumkan untuk menarik balik sayur tersebut dari pasaran mengikut peruntukan di bawah Seksyen 13C(2), Akta Makanan 1983. Kegagalan mematuhi peruntukan seksyen tersebut adalah satu kesalahan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. Manakala pihak penjual diminta menghentikan penjualan serta-merta. Pengguna pula dinasihatkan menyemak label produk untuk mengenalpasti negara asal produk dan pengguna yang telah membeli sayur Romaine lettucedari negara Amerika Syarikat dinasihatkan supaya tidak memakannya. Bagi mereka yang mempunyai gejala keracunan makanan seperti sakit perut, loya, muntah dan sakit kepala setelah memakan sayur Romaine lettucetersebut hendaklah segera mendapatkan rawatan di mana-mana klinik atau hospital yang berdekatan.

KKM akan terus meningkatkan pemantauan ke atas sayur-sayuran di pasaran tempatan dan di pintu masuk negara bagi memastikan pematuhan ke atas perundangan makanan.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Sekian, terima kasih

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

26 November 2018

 

 

 

 

 

Categories: Food Safety, Press