Press

Kenyataan Akhbar KPK 28 November 2018 – Situasi Terkini Rabies di Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat satu (1) kes rabies dalam kalangan manusia yang baru disahkan melalui ujian sampel klinikal pada 27 November 2018. Kes adalah seorang lelaki berumur 21 tahun yang tinggal di Batu 7, Kuching, Sarawak.

Pesakit pernah digigit oleh seekor anjing tidak bertuan pada 4 Oktober 2018. Status vaksinasi anjing tersebut serta keadaan kesihatannya tidak diketahui. Selepas digigit, pesakit tidak mencuci luka gigitan dan tidak mendapatkan sebarang rawatan di fasiliti kesihatan. Beliau hanya membeli ubat di farmasi untuk disapu di luka tersebut.

Pada 21 November 2018, pesakit mengalami sakit di bahagian belakang badannya dan mengadu jatuh sehari sebelumnya. Beliau tidak memaklumkan bahawa dirinya pernah digigit anjing. Pada 24 November 2018, pesakit telah mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) apabila mengalami lemah kedua-dua kakinya. Pesakit telah dimasukkan ke wad dan pemeriksaan mendapati beliau mempunyai gejala hydrophobia, aerophobia dan kekeliruan. Pesakit kini sedang menerima rawatan dan dalam pemerhatian rapi pakar-pakar klinikal HUS.

Dengan pengesahan terbaru ini, jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 30 Jun 2017 adalah 14 kes; di mana 12 kes telah meninggal dunia, satu (1) kes dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi dan kes terbaru ini masih dalam rawatan.

Sehingga 25 November 2018, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 54 buah kawasan di 11 Bahagian di Sarawak sebagai kawasan jangkitan rabies. Hanya Limbang sahaja yang masih bebas rabies dalam kalangan haiwan.

rabies1

KKM ingin mengingatkan semula dan menegaskan kepada orang awam agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada penyakit rabies:

  • Cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
  • Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar;
  • Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar;
  • Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkahlaku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;
  • Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  • Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.

KKM dan JKN Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

28 November 2018

Categories: Press

Tagged as: