Press

Kenyataan Akhbar KPK 5 Disember 2018 – Kematian Kes Rabies Baru di Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada kenyataan akhbar Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 28 November 2018 yang melaporkan mengenai seorang lelaki berumur 21 tahun daripada Kuching, Sarawak yang telah disahkan rabies. Untuk makluman, pesakit tersebut telah meninggal dunia pada pagi 4 Disember 2018 di Hospital Umum Sarawak. Punca kematiannya adalah Rabies Encephalomyelitis. KKM ingin mengucapkan takziah kepada keluarga beliau.

Kematian kes rabies baru ini menjadikan jumlah kematian sebanyak 13 daripada 14 kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 30 Jun 2017. Manakala, satu (1) kes lagi masih dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi.

Sehingga 4 Disember 2018, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 54 buah kawasan di 11 Bahagian di Sarawak sebagai kawasan jangkitan rabies di kalangan haiwan. Hanya Limbang sahaja kawasan yang masih bebas rabies.

rabies JKN Sarawak

Orang awam diingatkan agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan jangkitan rabies.

  • Cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan liar dengan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
  • Dapatkan rawatan segera ke klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar;
  • Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar;
  • Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkahlaku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;
  • Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  • Sentiasa kekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan mencuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.

KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, agensi-agensi lain serta negara jiran seperti Indonesia bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan rabies dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

5 DISEMBER 2018

Categories: Press

Tagged as: