Press

Kenyataan Akhbar KPK 9 Disember 2018 – Situasi Terkini Rabies di Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa terdapat dua (2) kes baharu disyaki rabies di kalangan manusia di Sarawak. Satu kes disyaki masih dalam rawatan dan pemerhatian pakar perubatan di Hospital Umum Sarawak (HUS). Manakala satu (1) kes disyaki lagi telah meninggal dunia pada 7 Disember 2018 semasa dalam rawatan di HUS. Kedua-dua kes disyaki ini masih menunggu keputusan ujian makmal bagi pengesahan penyakit. Takziah diucapkan kepada ahli keluarga mendiang.

Kes disyaki rabies yang pertama adalah seorang lelaki berumur 64 tahun yang tinggal di Kuching, Sarawak. Pada pertengahan bulan September 2018, pesakit telah digigit di betis oleh seekor anak anjing yang juga telah menggigit isterinya di ibu jari. Anjing itu baru dipungut dan dipelihara oleh kedua suami isteri ini seminggu sebelum kejadian gigitan tersebut. Selepas digigit, anak anjing ini telah dilepaskan di kawasan Matang, Sarawak dan status terkininya tidak diketahui. Selepas digigit, pesakit hanya mencuci luka gigitan tersebut dan tidak mendapatkan sebarang rawatan di fasiliti kesihatan. Pada 27 November 2018, pesakit mengalami sakit lutut serta lemah pada anggota bawah badan dan telah mendapatkan rawatan di klinik swasta. Walau bagaimanapun, beliau tidak memaklumkan bahawa dirinya pernah digigit anjing kepada pengamal perubatan swasta yang merawat. Pada 2 Disember 2018, beliau telah mendapatkan rawatan di HUS apabila keadaannya tidak bertambah baik. Pesakit dimasukkan ke wad di mana beliau menunjukkan gejala kekeliruan dan dipindahkan ke Wad Penyakit Berjangkit untuk pemerhatian lanjut. Isteri beliau tidak mengalami sebarang gejala dan vaksin anti-rabies telah mula diberikan.

Kes disyaki rabies kedua pula adalah seorang lelaki berumur 74 tahun yang tinggal di Kuching, Sarawak. Pada 24 November 2018, pesakit mengalami sakit di bahagian sebelah kiri badan dan telah mendapatkan rawatan di klinik swasta. Pada keesokan harinya, beliau telah dihantar ke HUS untuk rawatan lanjut kerana keadaannya bertambah teruk. Pada 28 November 2018, pesakit telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Beliau telah meninggal dunia pada 7 Disember 2018 jam 3:15 pagi dengan penyebab kematian sebagai clinical rabies. Siasatan mendapati pesakit tidak mempunyai sejarah digigit oleh haiwan. Beliau ada membela seekor anjing dan seekor kucing yang telah diberi vaksin anti-rabies pada tahun 2018 ini. Haiwan-haiwan tersebut kelihatan normal dan tidak menunjukkan sebarang gejala penyakit rabies.

Kedua-dua kes disyaki rabies ini masih menunggu pengesahan ujian makmal. Spesimen klinikal telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan sedang diproses. Sejak 30 Jun 2017 sehingga hari ini, jumlah kes yang disahkan rabies di kalangan manusia di Sarawak adalah 14 orang termasuk 13 kematian dan satu (1) kes dirawat di rumah dengan komplikasi neurologi.

Sehingga 7 Disember 2018, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan 56 buah kawasan di 11 Bahagian di Sarawak sebagai kawasan jangkitan rabies. Hanya Limbang sahaja yang masih bebas rabies di kalangan haiwan.

rabies1

Bagi menangani jangkitan rabies di Sarawak, kerjasama semua rakyat Sarawak amat diperlukan, dengan mematuhi semua nasihat Kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan masalah rabies di negeri ini dapat dikawal dan seterusnya mengelakkan kematian rabies di kalangan manusia. Justeru, orang awam diingatkan semula agar:

  1. Lebih bertanggungjawab dengan tidak membiarkan atau membuang haiwan peliharaan di kawasan-kawasan awam;
  2. Tidak memungut anjing dewasa atau anak anjing yang terbiar dan tidak diketahui status vaksinasi anti-rabies;
  3. Segera cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan liar dengan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur. Selepas itu, segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital terdekat;
  4. Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar;
  5. Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkahlaku termasuk agresif, segera dapatkan rawatan di klinik haiwan dan laporkan ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;
  6. Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  7. Cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.

KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak komited dan akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, agensi-agensi lain serta negara jiran bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan rabies dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan. Kerjasama orang ramai amat diperlukan bagi menjayakan tindakan pencegahan dan kawalan yang dijalankan agar wabak rabies ini dapat segera dikawal.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

9 DISEMBER 2018

Categories: Press

Tagged as: