Press

Kenyataan Akhbar KPK 31 Disember 2018 – Tempat Makan Sebagai Tempat Dilarang Merokok

Bermula 1 Januari 2019, di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, semua tempat makan sama ada berhawa dingin atau tidak, adalah diwartakan sebagai Tempat Dilarang Merokok. Pindaan pewartaan tempat makan ini dibuat di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT 2004) adalah bertujuan untuk melindungi orang awam terutama golongan bukan perokok daripada terdedah kepada bahaya asap rokok. Ia juga selaras dengan komitmen Malaysia kepada Artikel 8, World Health Organization (WHO) Framework Convention on Tobacco Control (FCTC). Selain daripada itu, ia juga bertujuan untuk membudayakan amalan tidak merokok dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan menghadkan kawasan yang dibenarkan merokok terutama di kawasan tumpuan orang awam.

Bagi maksud pindaan pewartaan ini, orang ramai adalah diminta untuk tidak merokok di semua tempat makan sama ada berhawa dingin dan tidak berhawa dingin. Ini termasuklah di dalam dan luar bangunan kawasan kedai makan, restoran dan juga medan selera. Larangan ini juga meliputi semua gerai-gerai makan dan kenderaan bergerak yang menyediakan kemudahan meja dan kerusi untuk makan dan minum serta semua restoran yang berada di atas kapal dan keretapi.

Semua pemilik, pengusaha atau tuan punya permis atau kenderaan bergerak atau kenderaan seperti yang disebutkan di atas perlu memastikan tanda larangan merokok yang jelas diletakkan di tempat yang boleh dilihat dan mengambil langkah-langkah bagi memastikan tiada orang yang merokok dengan tidak menyediakan kemudahan untuk merokok seperti bekas abu rokok dan sebagainya.

Tanda larangan merokok

Di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 mana-mana individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 10,000 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun. Manakala di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, semua pemilik, pengusaha atau tuan punya permis atau kenderaan yang gagal mempamerkan tanda larangan merokok yang jelas boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM 3,000 atau penjara tidak melebihi enam (6) bulan. Bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 5,000 atau penjara tidak melebihi satu (1) tahun.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia memohon kerjasama dan komitmen semua lapisan masyarakat agar memainkan peranan sewajarnya bagi memastikan Peraturan ini dipatuhi. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa komited bagi memastikan orang awam terutama kanak-kanak, wanita mengandung dan orang tua sentiasa dilindungi daripada bahaya asap rokok dan produk merokok yang lain.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

31 DISEMBER 2018

 

Tobacco Breaks Hearts

IMG_3507

Categories: Press

Tagged as: