Press

Kenyataan Akhbar KPK 16 Januari 2019 – Kes Rabies di Perak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum siaran media Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang telah mengumumkan bahawa Mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah Larut Matang dan Selama diwartakan sebagai kawasan jangkitan rabies berkuatkuasa pada 14 Januari 2019. Pewartaan ini adalah susulan daripada empat (4) ekor anjing daripada kawasan tersebut disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI). Namun begitu, tidak ada kes rabies dalam kalangan manusia yang dikesan di Taiping dan Bukit Gantang setakat ini.

KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat dua (2) orang mangsa yang telah digigit oleh anjing peliharaan keluarga mereka pada 25 Disember 2018 yang lalu. Mangsa pertama adalah seorang wanita berumur 50 tahun dan mangsa kedua adalah seorang lelaki berumur 25 tahun. Kedua-dua mangsa telah dimasukkan ke wad Hospital Taiping pada 25 Disember 2018 dan discaj pada 26 Disember 2018 selepas menerima rawatan bagi kecederaan yang dialami. Anjing yang menggigit mangsa telah dilupuskan oleh pemiliknya pada 3 Januari 2019 dan sampel daripada anjing berkenaan disahkan positif rabies pada 4 Januari 2019 oleh Institut Penyelidikan Veterinar (VRI). Berikutan itu, mangsa gigitan telah diberikan vaksin dan rabies immunoglobulin. Status kesihatan kedua-dua mangsa gigitan ini terus dipantau dan buat masa ini tidak menunjukkan sebarang gejala jangkitan rabies.

Susulan daripada itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia telah menjalankan survelan anjing liar di lokaliti terbabit pada 11 Januari 2019 dan mendapati tiga (3) daripada 30 sampel anjing adalah positif rabies.

rabies1

KKM ingin menasihati orang awam terutamanya di daerah Larut Matang dan Selama agar mengambil langkah-langkah pencegahan seperti berikut bagi mengelakkan daripada penyakit rabies:

  • Cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
  • Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar;
  • Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat dan elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar;
  • Elakkan diri daripada digigit oleh anjing atau haiwan lain;
  • Jika anjing atau kucing peliharaan didapati berubah tingkahlaku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar berhampiran;
  • Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  • Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti amalan cuci tangan dengan betul menggunakan air dan sabun selepas menyentuh haiwan peliharaan.

Orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri Perak komited dan akan mempertingkatkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh.

Sekian, terima kasih.

 

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

16 Januari 2019

Categories: Press, Uncategorized

Tagged as: