Press

Kenyataan Akhbar KPK 18 Januari 2019 - Kes Ke-17 Rabies dalam Kalangan Manusia di Sarawak

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan terdapat satu (1) kes baharu yang disahkan rabies melibatkan seorang wanita berumur 80 tahun dari Kampung Sg. Du’uh, Jalan Kuching-Serian, Serian, Sarawak.

Kes ini mempunyai sejarah luka calar di tangan kirinya akibat dicakar oleh anjing peliharaannya pada bulan Disember 2018. Ia berlaku semasa beliau cuba meleraikan pergaduhan anjing tersebut dengan seekor kucing peliharaannya. Mangsa telah mencuci luka tersebut menggunakan alkohol sahaja dan tidak mendapatkan rawatan lanjutan. Anjing itu telah mati pada keesokan harinya. Ia tidak pernah menerima vaksinasi anti-rabies dan sering bebas berkeliaran.

Pada 11 Januari 2019, mangsa telah mengalami demam, batuk, muntah, lesu, sakit badan dan rasa lemah pada tangan kiri, dan telah mendapatkan rawatan di klinik swasta pada hari yang sama. Walau bagaimanapun, mangsa tidak memaklumkan bahawa beliau telah digigit oleh anjing. Mangsa telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak pada 14 Januari 2019 oleh klinik swasta yang sama apabila gejala tidak berkurangan semasa beliau mendapatkan rawatan ulangan. Keadaan mangsa bertambah teruk dengan gejala neurologi termasuk hidrofobia dan aerofobia. Mangsa telah meninggal dunia pada 18 Januari 2019 jam 9.35 pagi. Sampel klinikal kes telah disahkan positif rabies oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 18 Januari 2019.

Dengan pengesahan kes terbaru ini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 sehingga 18 Januari 2019 adalah 17 kes termasuk 16 kematian.

rbies

KKM ingin menegaskan bahawa salah satu cara pencegahan jangkitan rabies pada manusia adalah SEGERA BASUH LUKA GIGITAN dengan sabun dan air yang mengalir sekurang-kurangnya 15 minit. Selepas itu, dapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital kerajaan yang berdekatan.

Orang ramai juga diminta untuk membawa haiwan peliharaan untuk diberi vaksin anti-rabies; dan tidak membiarkannya berkeliaran atau bergaul dengan haiwan liar. Jangan mengambil anjing liar yang tidak diketahui status vaksinasinya untuk dipelihara.  Selain itu, elakkan diri daripada digigit anjing atau haiwan liar.

Bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi mencapai Sarawak bebas rabies, orang ramai diminta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan memberi kerjasama dalam pelaksanaan program kawalan dan pencegahan rabies yang dijalankan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

18 Januari 2019

Categories: Press

Tagged as: