Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 1 Februari 2019 -Kejadian Penyakit Chikungunya di Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada Kenyataan Akhbar Pengarah Kesihatan Negeri Selangor bertarikh 31 Januari 2019 berkaitan kejadian demam dan sakit sendi di kalangan penduduk di Tanjung Sepat, Daerah Kuala Langat, Selangor. Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat telah melaksanakan pengesanan kes secara aktif (active case detection) dan sehingga 31 Januari 2019 sebanyak 14 pesakit yang mempunyai gejala penyakit Chikungunya telah dikesan serta dibuat ujian lanjut. Daripada jumlah ini, sebanyak 11 pesakit telah disahkan menghidap penyakit Chikungunya.

Tindakan kawalan dan pencegahan penyakit Chikungunya, iaitu pemusnahan tempat pembiakan nyamuk dan aktiviti semburan kabus, telah dilaksanakan di sekitar kawasan Tanjung Sepat oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Langat.  Buat masa ini kejadian adalah terkawal.

nyamuk

Penyakit Chikungunya adalah disebabkan oleh virus Chikungunya yang disebarkan oleh nyamuk Aedes, iaitu jenis nyamuk yang sama menyebarkan penyakit Denggi.  Pesakit yang dijangkiti Chikungunya akan mengalami demam, ruam, sakit badan dan sakit sendi yang boleh menggangu pergerakan pesakit. Pesakit yang mempunyai gejala-gejala ini, diminta mendapatkan ujian dan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan berhampiran.

whatsapp-image-2017-03-05-at-11-22-01-am

Untuk mencegah penularan penyakit Chikungunya, masyarakat diminta melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti berikut:

  1. Membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di kediaman dan premis masing-masing setiap minggu;
  2. Menggunakan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah;
  3. Elakkan gigitan nyamuk dengan menggunakan repelan dan memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang terutama apabila berada di luar rumah;
  4. Menggunakan ubat pembunuh jentik-jentik di dalam bekas takungan air kekal atau sukar dibersihkan;
  5. Memasang jaring nyamuk (mosquito mesh) di tingkap dan pintu rumah bagi menghalang nyamuk memasuki kediaman

Orang ramai yang mempunyai gejala demam dan sakit sendi terutama penduduk di kawasan kampung Tanjung Sepat dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan lanjut di fasiliti kesihatan yang berdekatan. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini. Maklumat situasi semasa Chikungunya boleh didapati di laman facebook CPRC – Kementerian Kesihatan Malaysia.

Sekian, terima kasih.

 

“Tiada Aedes, Tiada Denggi, Chikungunya dan Zika”

 

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

1 Februari 2019

Categories: Communicable disease, Press

Tagged as: