Press

Kenyataan Akhbar KPK 3 Mac 2019 – Situasi Terkini Kejadian Penyakit Difteria di Johor

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 23 Februari 2019 yang telah melaporkan kejadian penyakit disyaki difteria di daerah Johor Bahru yang menyebabkan satu (1) kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun 1 bulan akibat komplikasi jangkitan Difteria pada 21 Februari 2019. KKM ingin memaklumkan ujian pengesahan toksin difteria yang diterima pada 1 Mac 2019 adalah positif.

Sehingga 2 Mac 2019, tiga (3) lagi kes telah disahkan difteria iaitu:

i) Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat (4) tahun yang juga kakak kepada kes kematian;

ii) Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat (4) tahun yang tinggal di rumah yang sama dengan kes kematian; dan

iii) Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang tinggal di rumah yang sama dengan kes kematian.

Kesemua kes telah menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil. Satu (1) kes telah dibenarkan pulang ke rumah manakala dua (2) lagi kes masih dirawat di hospital. Sepuluh (10) lagi kanak-kanak yang bergejala dan tinggal di rumah yang sama telah diberi rawatan dan telah disahkan bukan kes difteria.

Selain itu, terdapat lapan (8) orang lagi yang tinggal serumah dengan kes kematian dan tidak bergejala telah juga diberi rawatan antibiotik sebagai profilaksis (pencegahan). Keadaan kesihatan mereka dipantau secara harian oleh Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru selama 14 hari. Tiada kes baru dilaporkan dan kejadian adalah terkawal.

Susulan kejadian wabak difteria di Johor ini, KKM ingin menegaskan kepentingan pemberian imunisasi bagi mencegah penyakit berjangkit yang boleh dicegah oleh vaksin seperti difteria, demam campak (measles), batuk kokol (pertussis) dan lain-lain. Penyakit-penyakit ini amat mudah merebak dan kanak-kanak berisiko tinggi untuk dijangkiti. Pemberian vaksin kepada kanak-kanak membantu tubuh mereka untuk membina antibodi (sel imun) yang boleh melawan kuman penyebab penyakit dan memberi perlindungan daripada mendapat jangkitan. Sekiranya seseorang yang telah menerima vaksin dijangkiti kuman penyebab penyakit tersebut, gejala yang dialami adalah ringan. Namun, seseorang yang tidak divaksinkan pula bukan sahaja mudah dijangkiti, malah berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi jangkitan yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi pelbagai organ (multiorgan failure) dan juga kematian.

KKM menyeru ibu bapa agar sentiasa memastikan anak-anak mereka mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Bagi kanak – kanak yang telah tercicir suntikan, perkhidmatan imunisasi boleh diperolehi di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat.

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

3 Mac 2019

Categories: Press

Tagged as: ,