Press

Kenyataan Akhbar KPK 3 April 2019 – Operasi Khas Penjualan Produk Tidak Berdaftar “Ops Candy” Secara Dalam Talian

candy B complex.jpg

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menerima aduan dan maklumat daripada orang awam berkenaan penjualan produk tidak berdaftar secara dalam talian melalui laman sesawang http://www.11street.my. Produk yang diiklankan di dalam laman sesawang tersebut melibatkan produk perangsang seks iaitu Candy B+ Complex. Candy B+ Complex adalah produk yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memandangkan hasil analisa menunjukkan produk tersebut mengandungi racun berjadual iaitu Tadalafil.

Screen Shot 2019-04-03 at 17.16.39

Hasil maklumat dan laporan orang awam, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) KKM telah menjalankan serbuan pada 26 Mac 2019 dan hasil rampasan adalah dianggarkan bernilai RM1.129 juta. Hasil rampasan turut meliputi beberapa jenis makanan dan minuman yang disyaki dicemari racun berjadual, kosmetik yang tidak bernotifikasi dan beberapa buah peranti digital.

Kesemua produk yang telah dirampas akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952 di mana jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama bagi individu dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya. Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Kementerian ini ingin memberi amaran tegas kepada sesiapa yang mempunyai stok produk ini agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan SERTA MERTA kerana penggunaan produk ini boleh membawa kepada kemudaratan terhadap kesihatan tubuh badan. Tadalafil adalah merupakan ubat terkawal yang digunakan untuk merawat pesakit yang mengalami masalah gangguan seksual seperti mati pucuk atau nama lainnya impotens / Erectile Dysfunction (ED). Penggunaan ubat ini memerlukan pengawasan yang teliti daripada pengamal perubatan yang berdaftar dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh orang awam.

biarbetuliklanni

KKM juga ingin menasihati orang ramai supaya berwaspada sebelum membeli sebarang produk kesihatan dan kosmetik yang dijual secara dalam talian serta memastikan produk-produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran adalah berdaftar atau bernotifikasi. Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.moh.gov.my / ATAU dengan menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400. Selain itu, orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi menyemak status pendaftaran produk tersebut.

Orang ramai termasuk pihak media digalakkan untuk mengemukakan laporan dan menyalurkan maklumat berkenaan produk yang meragukan sebagai usaha bersama pihak kementerian untuk membanteras penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam. Laporan dan maklumat tersebut boleh disalurkan kepada Program Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my ATAU melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my. ATAU mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk ini di pasaran.

 

Datuk Dr Noor Hisham bin Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

3 April 2019

Categories: Press

Tagged as: