Crisis & Disaster

Kenyataan Akhbar KPK 8 April 2019 – Kemalangan Bas Pekerja Berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang Selangor

  1. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengesahkan bahawa Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan Hospital Putrajaya (PKPK) telah menerima panggilan pada jam 11:16 malam 7 April 2019 mengenai satu kejadian kemalangan jalanraya melibatkan sebuah bas pekerja di satu lokasi berdekatan MAS Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 
  2. Sejurus menerima panggilan, Pusat Koordinasi Perubatan Kecemasan Hospital Putrajaya (PKPK) telah menyelaraskan pasukan respon di mana Klinik Kesihatan Salak merupakan pasukan pertama yang diaktifkan untuk memberi bantuan ke tempat kejadian, dengan diikuti oleh pasukan respon daripada lain-lain fasiliti berdekatan.
  3. Pasukan respon yang terlibat adalah daripada KKM dan dibantu oleh agensi-agensi kecemasan yang lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Medilife Ambulance (Lampiran 1). Ianya telah diketuai oleh Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Putrajaya.
  4. Mangsa-mangsa kemalangan telah dikejarkan ke Hospital Putrajaya, Hospital Serdang, Hospital Banting dan Hospital Kajang. Jumlah mangsa yang terlibat adalah seramai 44 orang di mana terdapat 11 kematian (9 kematian di tempat kejadian dan 2 kematian di hospital), 11 mangsa dalam keadaan kritikal, 14 mangsa separa kritikal dan 8 kes tidak kritikal (Lampiran 2). Buat masa ini, status kewarganegaraan bagi mangsa-mangsa yang terlibat masih dalam peringkat pengesahan pihak berwajib.
  5. Situasi terkini di hospital-hospital yang terlibat adalah terkawal. Penyiasatan punca dan mekanisma kemalangan adalah di bawah bidang kuasa agensi yang berkaitan. Takziah diucapkan kepada mangsa dan keluarga mangsa yang terlibat. Pihak hospital dan petugas Kesihatan akan terus komited dalam meneruskan rawatan kepada mangsa yang terlibat di hospital terbabit. Terima kasih diucapkan kepada semua agensi yang terlibat dalam pengurusan insiden ini. Maklumat terkini keadaan mangsa dan status kewarganegaraan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

8 APRIL 2019 @ 12.00 tengah hari

Screen Shot 2019-04-08 at 12.10.34 PMScreen Shot 2019-04-08 at 12.10.55 PM

Categories: Crisis & Disaster, Press